Jabatan Hutan Sarawak Terima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2025 Bertaraf Lima Bintang
PUTRAJAYA: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) menerima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2025 bertaraf Lima Bintang daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Jabatan Perdana Menteri.
Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, di Dewan Damar Sari, dalam Majlis Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2026 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini, pada Isnin.
Menurut kenyataan JHS, pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh sistem pengurusan keselamatan organisasi, melindungi aset kerajaan serta memastikan kerahsiaan maklumat sentiasa terpelihara sejajar dengan keperluan semasa dan cabaran era digital.
“Kami merakamkan penghargaan kepada seluruh warga jabatan yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan budaya keselamatan perlindungan sentiasa menjadi keutamaan.
“Kejayaan ini akan menjadi pemangkin untuk terus mempertingkatkan kecemerlangan perkhidmatan awam dan pengurusan sumber hutan secara profesional, berintegriti dan berdaya tahan,” kata kenyataan itu.
Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap kecemerlangan pengurusan keselamatan perlindungan sesebuah agensi kerajaan dalam aspek keselamatan fizikal, keselamatan dokumen terperingkat, keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pematuhan kepada dasar dan peraturan keselamatan kerajaan.
Pencapaian ini amat membanggakan apabila JHS merupakan satu-satunya agensi Kerajaan Sarawak yang menerima pengiktirafan berkenaan.
Kejayaan itu sekali gus membuktikan komitmen jabatan dalam mengamalkan tadbir urus keselamatan perlindungan yang cemerlang dan menepati standard yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.-EDISI UKAS