Ngabang Gawai Meradong Perkukuh Hubungan Rakyat dan Pemimpin
MERADONG: Program Ngabang Gawai anjuran Pusat Khidmat DUN Meradong terus menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat apabila memasuki hari ke-29 dengan lawatan ke beberapa rumah panjang di kawasan Sungai Mador Ili, Bintangor pada Ahad.
Lawatan tersebut diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bersama isterinya Datin Kueh Nai Fun serta rombongan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor.
Sepanjang program berlangsung, beliau meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk, di samping mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi serta menerima beberapa surat permohonan daripada tuai rumah dan komuniti setempat.
Menurut beliau, program Ngabang Gawai yang dilaksanakan saban tahun bukan sekadar kunjungan bermusim, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan untuk turun padang dan mendekati rakyat tanpa mengira lokasi.
“Lawatan ini bukan hanya ketika musim pilihan raya. Setiap tahun kita akan turun padang, tanpa mengira jauh atau dekat, panjang atau pendek sesebuah rumah panjang, kita tetap akan berkunjung,” katanya semasa berucap.
Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan atas sambutan mesra penduduk serta menegaskan bahawa program seumpama ini akan terus menjadi wadah penting dalam mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat di samping memacu pembangunan kawasan luar bandar.-EDISI UKAS