Projek Naik Taraf Klinik Kesihatan Mid Layar Spak Perkukuh Akses Kesihatan Luar Bandar
BETONG: Usaha memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar terus diperkasa menerusi cadangan pembinaan blok tambahan serta kerja naik taraf Klinik Kesihatan (KK) Mid Layar Spak, yang dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.
Lawatan tapak dan mesyuarat koordinasi projek tersebut telah diadakan pada Isnin melibatkan pelbagai agensi teknikal bagi memastikan perancangan projek berjalan lancar serta memenuhi keperluan semasa perkhidmatan kesihatan.
Timbakan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu menegaskan kepentingan projek itu dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar.
Menurut beliau, projek berkenaan bukan sahaja menyediakan kemudahan yang lebih selesa, malah mampu memperluaskan kapasiti rawatan dan perkhidmatan di klinik tersebut.
“Pelaksanaan projek ini akan memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat dengan penyediaan kemudahan kesihatan yang lebih kondusif dan komprehensif,” katanya semasa lawatan tersebut.
Beliau turut menggesa semua pihak terlibat agar terus memperkukuh kerjasama dan komitmen bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan lancar serta mengikut jadual yang ditetapkan.
Dalam sesi taklimat dan mesyuarat koordinasi, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, juruperunding serta kontraktor telah membincangkan aspek teknikal dan isu pelaksanaan bagi memuktamadkan reka bentuk projek.
Perancangan pembangunan merangkumi pembinaan blok tambahan dua tingkat yang bakal menempatkan Unit Kecemasan, Unit Radiologi, Unit Kesihatan Pergigian, Klinik Kesihatan Pekerjaan serta Pejabat Pentadbiran.
Selain itu, sebuah blok tambahan satu tingkat turut dicadangkan bagi menempatkan Unit Makmal Perubatan serta ruang penyimpanan stok ubat untuk Unit Farmasi.
Projek ini dibiayai di bawah peruntukan ADUN Layar dan disalurkan melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), manakala JKR Sarawak bertindak sebagai agensi pelaksana.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Amirul Azwan Ainie, Pegawai JKR Sarawak Muhammad Haziq Jinaidi, Pegawai Kesihatan Bahagian Betong Dr. Jesica Jenah Ramping serta Pakar Perubatan Keluarga KK Mid Layar Spak Dr. Shaun Paul Wayn.-EDISI UKAS