KUALA LUMPUR: Usaha memperkasa pelancongan marin Sarawak terus membuahkan hasil apabila Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) meraih tempat ketiga Anugerah Best Booth Creative pada Malaysia International Dive Expo (MIDE) 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, dari 5 hingga 7 Jun lalu.
Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen berterusan STB dalam memperkukuh kehadiran Sarawak di peringkat serantau menerusi pendekatan kreatif dan interaktif dalam mempromosikan produk pelancongan marin serta selam skuba.
Menerusi kenyataan media pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Dr Sharzede Datu Salleh Askor berkata penyertaan dalam MIDE 2026 membuka ruang strategik untuk mengukuhkan jaringan industri serta mempromosikan keunikan pengalaman bawah laut Sarawak kepada pasaran antarabangsa.
Bertemakan “Forged by the Ocean – Two Decades of Passion, Purpose and Protection”, MIDE 2026 menghimpunkan penggiat industri selam, pemain pelancongan marin serta rakan perdagangan dalam usaha memperkukuh pembangunan sektor tersebut di peringkat serantau.
Sepanjang ekspo tiga hari itu, Pavilion Sarawak yang mengetengahkan identiti “Sarawak – More to Discover” berjaya menarik perhatian pengunjung menerusi paparan visual interaktif, tayangan video destinasi serta aktiviti promosi yang mengetengahkan keindahan landskap bawah laut negeri ini.
Antara tarikan utama yang dipromosikan termasuk Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti, perairan Kuching dan Sematan, Kepulauan Satang serta tapak selaman kapal karam era Perang Dunia Kedua yang menjadi produk utama pelancongan marin Sarawak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Selain itu, penyertaan STB turut membuka peluang interaksi perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan ke pengguna (B2C), sekali gus membantu pengusaha selam tempatan menjalin hubungan dengan pembeli antarabangsa, ejen pelancongan dan peminat selam skuba.
Langkah ini bukan sahaja menjana potensi kerjasama baharu termasuk promosi bersama dan lawatan pengenalan (FAM), malah memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi selam utama di Asia Tenggara.
Pada masa sama, STB terus menekankan kepentingan pembangunan pelancongan lestari dengan mengimbangi promosi destinasi dan usaha pemuliharaan ekosistem marin bagi memastikan kelestarian khazanah bawah laut negeri untuk generasi akan datang.
Pencapaian di MIDE 2026 ini sekali gus mengukuhkan lagi jenama Sarawak sebagai destinasi pelancongan berdaya saing yang kaya dengan keunikan alam semula jadi, budaya dan pengalaman pelancongan yang pelbagai.-EDISI UKAS