Kejohanan Gawai Golf 2026 Platform Cungkil Bakat Baharu, Tarik Penyertaan Golongan Muda
KUCHING: Kejohanan Gawai Golf 2026 yang akan berlangsung pada 13 Jun ini dijangka menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu serta menarik lebih ramai golongan muda menceburi sukan golf di Sarawak.
Patron kejohanan, Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom berkata, penyertaan pemain muda dan individu yang baharu berjinak-jinak dengan sukan tersebut amat penting bagi memastikan kesinambungan serta perkembangan golf di negeri ini.
Menurut beliau, kejohanan tahunan itu terus mendapat sambutan menggalakkan dan berpotensi melahirkan lebih ramai pemain berbakat pada masa hadapan.
“Kejohanan Gawai Golf kali ini lebih menarik kerana kami menjangkakan ramai pemain muda akan menyertai acara ini, termasuk mereka yang mempunyai bakat serta pengalaman baharu.
“Setakat ini, jumlah pendaftaran yang kami terima melebihi 200 peserta,” katanya pada sidang media sempena kejohanan tersebut di Kelab Golf Sarawak (KGS) pada Isnin.
Tan Sri Dato Sri Mawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan berkata, setiap penganjuran kejohanan seperti ini mampu mewujudkan minat baharu dalam kalangan pemain golf dan tidak seharusnya hanya melibatkan kelompok pemain yang sama.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha menarik lebih ramai golongan muda perlu diberi perhatian memandangkan ramai pemain golf sedia ada kini semakin berusia dan memerlukan pelapis untuk meneruskan perkembangan sukan tersebut.
“Kita semua semakin berusia. Tidak lama lagi saya juga akan berundur, jadi pastikan ada golongan yang tampil sebagai barisan kedua untuk meneruskan kesinambungan sukan ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan golf bukan sekadar sukan, malah menjadi medium yang menggalakkan jaringan profesional, persahabatan serta penglibatan komuniti menerusi interaksi yang terjalin sepanjang permainan berlangsung.
Beliau berharap kejohanan itu bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama peserta, malah menjadi platform untuk memupuk semangat kesukanan, kerjasama dan persahabatan yang lebih erat.
Kejohanan Gawai Golf 2026 yang akan berlangsung di beberapa lokasi sekitar Kuching pada 13 Jun ini, melibatkan lapan kategori pertandingan dengan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM200,000 termasuk sebuah kenderaan elektrik.-EDISI UKAS