Sarawak Mohon Pertimbangan Khas Kuota Diesel Untuk Kawasan Pedalaman
KUCHING: Kerajaan Persekutuan diseru mempertimbangkan pendekatan khas terhadap pelaksanaan kuota pembelian diesel di Sarawak bagi mengambil kira cabaran geografi serta keperluan masyarakat luar bandar dan pedalaman yang berbeza berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, had pembelian diesel yang ditetapkan ketika ini perlu dinilai semula khususnya bagi penduduk di kawasan pedalaman yang terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan bekalan bahan api.
Menurut beliau, terdapat penduduk di kawasan pedalaman yang perlu menanggung kos perjalanan yang tinggi untuk ke stesen minyak terdekat, namun hanya dibenarkan membeli sehingga 100 liter diesel bagi setiap transaksi.
“Misalnya di Bario, untuk pergi ke stesen minyak terdekat boleh mengambil masa sehingga 15 jam, jadi kita perlu memikirkan keadaan sebenar yang berlaku di Sarawak.
“Saya berharap pertimbangan khas dapat diberikan bagi membantu rakyat yang berada dalam keadaan sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Gerakan Pengguna Negeri (GPN) Sarawak di sini pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau memohon agar perkara tersebut diberikan pertimbangan khusus untuk Sarawak, terutama di kawasan yang masih bergantung kepada generator bagi bekalan elektrik serta menggunakan bot sebagai pengangkutan utama yang memerlukan diesel.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah memaklumkan mesyuarat berkenaan turut membincangkan aduan pengguna yang diterima sepanjang tahun ini serta tindakan susulan yang perlu diambil berdasarkan laporan tersebut.
Menurut beliau, mesyuarat sama turut membentangkan laporan pemeriksaan terhadap premis perniagaan dan stesen minyak, selain menerima taklimat mengenai Dasar Pengguna Negara 2.0 serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata GPN Sarawak akan mempergiat usaha penyampaian maklumat kepada masyarakat bagi meningkatkan kefahaman mengenai pelaksanaan subsidi, termasuk kaedah permohonan dan proses untuk mendapatkan bantuan yang disediakan.
“Ini penting kerana tanpa penerangan yang betul, masyarakat akan menghadapi kesukaran untuk memahami kemudahan yang disediakan.
“Oleh itu, perkara ini akan terus dipertingkatkan kerana kita mahu mendidik, melatih dan memberi kesedaran kepada pengguna mengenai hak-hak mereka sebagai pengguna,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa aspek penguatkuasaan akan terus diperkukuhkan melalui kerjasama erat antara pelbagai agensi, khususnya dalam menangani isu ketirisan yang memerlukan tindakan segera.
Jelasnya, penyelarasan antara agensi amat penting bagi memperkasakan penguatkuasaan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam membendung sebarang bentuk salah laku.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dato Sri Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED Datu Lester Matthew, Pengarah KPDN Sarawak merangkap Pengerusi GPN Sarawak Matthew Dominic Barin, Residen-Residen Bahagian serta Ketua-ketua Jabatan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ahmad Daniel Faiz & Shairazi Sapiie