Kepentingan Masyarakat Dayak Terus Dipelihara, Nikmati Pembangunan Pesat
SERIAN: Kepentingan masyarakat Dayak di Sarawak akan terus dipelihara dan diperjuangkan demi kesejahteraan generasi masa kini serta akan datang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, komitmen tersebut diterjemahkan menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, kawasan Serian telah menikmati pembangunan pesat sejak sedekad lalu hasil pelaksanaan pelbagai projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Greater Kuching (GKCDA).
“Sebanyak RM1.5 bilion telah diperuntukkan menerusi GKCDA bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan ini.
“Selain itu, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja turut menerima peruntukan sebanyak RM125 juta untuk pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Sambutan Gawai Dayak 2026 Bukit Semuja di Dewan Babuk Salog, Kampung Riih Daso, pada Isnin.
Dalam aspek pembangunan sosial dan keagamaan, beliau berkata Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah menyalurkan sebanyak RM450 juta kepada rumah-rumah ibadat pelbagai agama di seluruh Sarawak sejak penubuhannya.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM11.3 juta telah disalurkan bagi membiayai projek berkaitan rumah ibadat dan kemudahan keagamaan di kawasan Bukit Semuja.
Beliau turut menegaskan bahawa perpaduan dan kerjasama semua lapisan masyarakat amat penting bagi memastikan Sarawak terus maju, makmur dan stabil pada masa hadapan.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Stephen Rundi Utom, Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus, ADUN Serembu, Dato Miro Simuh serta Datuk Amar Michael Manyin Jawong.-EDISI UKAS