Jadikan Program Komuniti Buka Peluang TVET Kepada Belia Luar Bandar
BINTULU: Program Satelit Komuniti Rakyat MADANI KEMAS Bintulu 2026 mampu menjadi platform penting dalam memperluas akses pendidikan dan latihan kemahiran kepada golongan belia di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, program komuniti boleh dimanfaatkan sebagai medium untuk membawa institusi pendidikan dan latihan kemahiran lebih dekat dengan masyarakat, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, usaha itu dapat membantu golongan belia yang tidak menyambung pengajian ke peringkat diploma, ijazah atau asasi untuk mendapatkan maklumat serta peluang mengikuti kursus kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri.
“Bagi anak muda yang baru mendapat keputusan SPM, kita boleh menjemput institusi TVET seperti MARA dan ADTEC untuk memberi penerangan serta membantu mereka mendapatkan maklumat berkaitan program latihan kemahiran yang ditawarkan.
“Melalui pendekatan ini, golongan belia yang tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi masih berpeluang mengikuti latihan kemahiran yang boleh membuka laluan kepada peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Satelit Komuniti Rakyat MADANI KEMAS Bintulu 2026 di Rumah Michael Bilong Lampoh, Sungai Mas, Jalan Bintulu-Tatau di sini pada Isnin.
Tambah beliau, program komuniti pada masa akan datang juga boleh diperkasakan dengan penglibatan lebih banyak agensi kerajaan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai isu semasa yang dihadapi di kawasan setempat.
Menurutnya, agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) boleh dijemput untuk berkongsi maklumat berkaitan pencegahan jenayah, penyalahgunaan dadah dan isu sosial lain yang melibatkan masyarakat.
Beliau berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk, malah membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai cabaran semasa selain membuka lebih banyak peluang pembangunan modal insan di kawasan luar bandar.
Turut hadir, Pegawai KEMAS Bahagian Bintulu, Muhammad Iqbal Abdullah, pemimpin masyarakat setempat serta wakil pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam program berkenaan.-EDISI UKAS