STIU Terima Dua Pengiktirafan Malaysia Book Of Records, Perkukuh Transformasi Perkhidmatan Awam
KUCHING: Komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh tadbir urus moden dan membudayakan prestasi tinggi dalam sektor awam terus membuahkan hasil apabila Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Jabatan Premier Sarawak menerima dua pengiktirafan berprestij daripada Malaysia Book Of Records (MBR).
Pengiktirafan tersebut melibatkan kategori “First Public Service Agency to Implement A Sustainable Transformation and Innovation Framework” menerusi pembangunan kerangka kelestarian SCS-NEXT serta “The First Integrated Public Sector Excellence Certification Ecosystem By A State Government in Malaysia” yang mengiktiraf pembangunan ekosistem pensijilan bersepadu sektor awam negeri.
Majlis penyerahan sijil itu menyaksikan Pengarah STIU, Superi Awang Said menerima anugerah daripada wakil MBR dan diserahkan kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee di Wisma Bapa Malaysia, pada Selasa.
Dalam pada itu, Datu Hii menegaskan bahawa pencapaian tersebut tidak seharusnya dilihat sekadar simbol pengiktirafan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada amalan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan awam.
“Jangan kita hanya mahu anugerah tetapi selepas itu lupa dan terus balik kepada cara lama yang kita amalkan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembangunan kerangka kelestarian melalui SCS-NEXT merupakan langkah strategik bagi memastikan setiap inisiatif transformasi dan inovasi dilaksanakan secara mampan serta konsisten.
“Ini membahagikan penetapan rangka kerja kelestarian bagi semua projek inovasi dan transformasi di kawasan Sarawak,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Sarawak kini memberi penekanan menyeluruh terhadap aspek kelestarian merangkumi pelbagai sektor termasuk tenaga dan sumber asli selari dengan agenda transformasi perkhidmatan awam negeri.
Dalam pada itu, pengiktirafan kedua menerusi pembangunan ekosistem pensijilan bersepadu dilihat sebagai pendekatan strategik dalam memperkukuh sistem penilaian prestasi berasaskan bukti di samping meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan perkhidmatan awam.
Pelaksanaan kedua-dua inisiatif tersebut dijangka memberi impak signifikan terhadap usaha mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih responsif dan berorientasikan hasil.
Selain itu, pencapaian berkenaan turut dilihat sebagai pengiktirafan kepada keseluruhan Perkhidmatan Awam Sarawak.-EDISI UKAS