Isu Pembangunan Kampung Jadi Fokus Kunjungan Hormat JKKK Biya Assum
KUCHING: Komitmen untuk memperkukuh pembangunan luar bandar dan meningkatkan kesejahteraan penduduk terus menjadi keutamaan Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil.
Perkara itu ditegaskan beliau ketika menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Biya Assum, Padawan di pejabatnya pada Isnin.
Kunjungan tersebut diketuai Ketua Kaum Kampung Biya Assum, Siang Sayod bersama beberapa ahli jawatankuasa kampung bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pembangunan serta keperluan semasa penduduk.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu, sesi pertemuan seperti itu penting sebagai platform untuk mendapatkan maklum balas secara terus daripada masyarakat, sekali gus membantu kerajaan merancang dan melaksanakan pembangunan yang lebih berkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKKK Kampung Biya Assum atas kesudian mengadakan kunjungan tersebut dan menzahirkan komitmen untuk terus menyokong usaha pembangunan serta kebajikan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong.
Tambah beliau, pendekatan libat urus secara berterusan akan terus diperkasakan bagi memastikan agenda pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan secara inklusif dan memberi manfaat kepada rakyat setempat.—EDISI UKAS