Kolej Vokasional Matang Raih Naib Juara Kejohanan Robotik Antarabangsa Di Taiwan
TAIPEI: Keupayaan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Sarawak terus terserlah di peringkat antarabangsa apabila Pasukan Robotik Kolej Vokasional Matang berjaya meraih tempat kedua menerusi pengiktirafan Finalist Alliance Award dalam kategori League of Mecha-Clash (LOM) pada STVE x MARC Open Championship 2026.
Pertandingan yang berlangsung pada 30 hingga 31 Mei di National Taiwan Science Education Center itu menghimpunkan pasukan robotik terbaik dari pelbagai negara bagi menguji kemahiran reka bentuk, pengaturcaraan, strategi serta kerjasama berpasukan dalam bidang robotik.
Kategori League of Mecha-Clash (LOM) merupakan pertandingan berasaskan pakatan yang menuntut peserta membangunkan robot berkeupayaan tinggi untuk melaksanakan tugasan secara autonomi dan kawalan manual dalam suasana kompetitif.
Selain kecekapan teknikal, kejayaan dalam kategori tersebut turut bergantung kepada strategi serta keupayaan komunikasi dan kerjasama antara pasukan yang membentuk pakatan sepanjang pertandingan berlangsung.
Pasukan Robotik Kolej Vokasional Matang mempamerkan prestasi konsisten dan cemerlang sehingga berjaya mara ke peringkat akhir sebelum dianugerahkan Finalist Alliance Award, sekali gus mengangkat nama institusi dan Malaysia di pentas global.
Pencapaian tersebut membuktikan pelajar kolej vokasional negara memiliki tahap penguasaan tinggi dalam bidang robotik, teknologi dan inovasi, setanding dengan peserta antarabangsa.
STVE x MARC Open Championship 2026 merupakan kejohanan robotik antarabangsa anjuran Master AI Robot Cup (MARC) yang menyediakan platform kepada peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan STEM, kecerdasan buatan (AI), pengaturcaraan serta kejuruteraan dalam situasi sebenar pertandingan.
Kejayaan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada warga kolej untuk terus cemerlang dalam bidang TVET, khususnya dalam teknologi robotik dan automasi, selaras dengan usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.-EDISI UKAS