SERIAN: Kehadiran ramai pemimpin Dayak pada Majlis Sambutan Gawai Dayak 2026 Bukit Semuja menjadi bukti nyata semangat kebersamaan dan kesepakatan masyarakat Dayak dalam mendukung agenda pembangunan negeri ke arah mencapai aspirasi Sarawak Maju 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penyatuan pemimpin dan masyarakat Dayak amat penting bagi memastikan segala agenda pembangunan yang dirancang kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut beliau, komitmen yang ditunjukkan oleh para pemimpin Dayak dalam menyokong dasar dan inisiatif kerajaan mencerminkan kesungguhan semua pihak untuk bersama-sama membangunkan Sarawak ke tahap yang lebih maju dan berdaya saing.
“Kehadiran pemimpin-pemimpin Dayak pada sambutan ini membuktikan wujudnya kesefahaman, perpaduan dan kesepakatan yang kukuh dalam menjayakan satu misi dan agenda yang sama, iaitu merealisasikan visi Sarawak Maju 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Sambutan Gawai Dayak 2026 Bukit Semuja di Dewan Babuk Salog, Kampung Riih Daso, pada Isnin.
Beliau turut menyeru masyarakat Dayak agar terus mengekalkan semangat perpaduan dan kerjasama yang menjadi asas kepada kestabilan serta kemajuan negeri.
Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh, ADUN Bukit Semuja, John Ilus, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Datu Dr. Adrian Susin Ambud serta bekas ADUN Tebedu, Datuk Amar Michael Manyin Jawong.-EDISI UKAS