Sibu Amateur Muaythai Challenge 2026 Bakal Gegarkan Dewan MUC Sibu
SIBU: Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama Persatuan Muaythai Sibu bakal menganjurkan kejohanan seni mempertahankan diri berprestij, Sibu Amateur Muaythai Challenge 2026 yang akan berlangsung dari 12-13 Jun ini di Dewan MUC Sibu.
Kejohanan yang dinanti-nantikan ini bakal menyaksikan pertembungan sengit membabitkan seramai 120 orang peserta termasuk dari Kalimantan Barat bersaing dalam pelbagai kategori.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim berkata kejohanan ini akan menampilkan penyertaan atlet-atlet handalan daripada pelbagai kelab Muaythai dari seluruh sekitar Sarawak, serta turut dimeriahkan dengan kehadiran peserta jemputan dari Kalimantan Barat, Indonesia.
"Kejohanan ini juga menjadi medan pendedahan penting bagi bakat-bakat muda berstatus pelajar sekolah," katanya hari ini.
Katanya, acara kemuncak pada hari pertama iaitu malam 12 Jun (Jumaat) akan diserikan dengan pengenalan peserta.
Majlis ini menjanjikan kelainan dengan acara pengenalan khas para peserta berserta kelab yang diwakili mereka.
"Selain itu, penonton yang hadir pada malam tersebut akan dihiburkan dengan pertunjukan memukau persembahan beladiri yang menggabungkan tiga jenis seni beladiri yang berbeza," tambah Jumaat.
Terdahulu pada sebelah petang, orang awam turut berpeluang menyertai program interaktif "Mari Mencuba Sukan Muaythai" yang akan dikendalikan oleh atlet Sarawak, Aman Koboi.
Tumpuan utama kejohanan akan bermula pada 13 Jun di mana perlawanan demi perlawanan akan berlangsung tanpa henti seawal jam 8.45 pagi dan bersambung sehingga ke malam, menjanjikan aksi berintensiti tinggi yang mendebarkan buat para peminat sukan tempur.
Ia akan disusuli dengan majlis perasmian kejohanan pada sebelah malam.
Menurut Jumaat lagi, kejohanan berprestij ini mendapat kelulusan rasmi penganjuran dari Pesuruhajaya Sukan Malaysia dan sokongan daripada badan induk kebangsaan, Persatuan Muaythai Malaysia (PMM).
Selain itu, ia juga disokong penuh dan dikuasakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia serta Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Pihak penganjur berbesar hati mengumumkan bahawa kemasukan adalah percuma.
Justeru, seluruh warga Sibu dan rakyat Sarawak dari segenap lapisan masyarakat dijemput hadir beramai-ramai ke Dewan MUC Sibu bagi memeriahkan suasana dan memberikan sokongan padu kepada barisan atlet yang bertanding, sekaligus menyemarakkan lagi semangat kesukanan di Bumi Kenyalang. - EDISI UKAS