KUCHING: Koperasi Guru Bumiputera Sarawak (KOBAGUS) merancang pembangunan projek perumahan di kawasan Bako yang melibatkan tanah seluas kira-kira 10 ekar.
Pengerusi KOBAGUS, Mohamad Mortadza Mantrang berkata, kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bertujuan membincangkan beberapa perkara berkaitan pelaksanaan projek berkenaan termasuk cabaran pembangunan di kawasan berbukit.
Menurut beliau, keadaan muka bumi di kawasan tersebut memerlukan perancangan serta kos pembangunan yang lebih tinggi termasuk pembinaan tembok penahan bagi membolehkan projek perumahan dilaksanakan dengan lebih teratur.
“Sebab itulah kami berjumpa dengan Premier Sarawak untuk memohon bantuan bagi mengatasi perkara tersebut supaya projek ini dapat diteruskan.
“Apa jua kaedah penyelesaiannya, kami bergantung kepada kebijaksanaan beliau dalam menangani perkara tersebut,” katanya dalam sidang media selepas kunjungan hormat pada Selasa.
Difahamkan, kawasan seluas 10.4 ekar itu dicadangkan untuk pembangunan 105 unit rumah melibatkan rumah teres satu dan dua tingkat, dengan pelan pembangunan akan dikemukakan kepada Majlis Perancangan Negeri (SPA).
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Mortadza berkata, KOBAGUS juga sedang meneliti potensi mendapatkan baki tanah berhampiran bagi cadangan pembangunan sebuah bandar pintar atau ‘Smart City’.
Katanya, cadangan pembangunan itu berpotensi menjadi antara projek perintis pembangunan bandar pintar yang diusahakan oleh koperasi di Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini