Sarawak Water Laksana Ujian Malam Ini, Kenal Pasti Punca Kebocoran Paip Utama Di Batu 7
MIRI: Sarawak Water akan melaksanakan ujian pada malam ini bagi mengenal pasti paip yang bocor, sama ada melibatkan paip air utama bersaiz 750 milimeter (mm) atau 1,100mm di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu.
Pengurus Sarawak Water Sdn Bhd Wilayah Miri, Dr. Geoffery Ranggu Thomas berkata, ujian tersebut akan dilakukan dengan menutup sementara salah satu paip utama berkenaan pada waktu malam bagi membolehkan bacaan sistem dianalisis dengan lebih tepat.
“Sekiranya paip 1,100mm terlibat, sekitar 50,000 akaun pengguna atau 70 peratus kawasan Miri dijangka terjejas melibatkan pusat bandar, utara Miri, Senadin, Lutong dan Kuala Baram.
“Bagi paip 750mm pula, sekitar 22,000 akaun pengguna dijangka terjejas di beberapa kawasan termasuk Taman Tunku, Lusut, Eastwood dan kawasan sekitar pusat bandar,” katanya ketika sesi taklimat Mesyuarat Koordinasi Baik Pulih Kebocoran Paip Utama Bekalan Air di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu, pada Selasa.
Beliau berkata, ujian klorin yang dijalankan di kawasan tanah turut mengesahkan kehadiran air terawat, sekali gus menguatkan indikasi berlaku kebocoran pada sistem paip utama.
Menurutnya, kerja-kerja pembaikan utama dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 11 Jun dengan tempoh kerja dianggarkan antara 18 hingga 24 jam bergantung kepada paip yang terlibat dan keadaan cuaca, diikuti tempoh pemulihan sistem selama 12 jam.
Sebagai persediaan, sebanyak 22 lori tangki air dan lebih 20 pusat pengambilan air telah disediakan termasuk bagi keperluan hospital dan pusat dialisis.
Orang ramai dinasihatkan supaya merujuk kepada saluran rasmi Sarawak Water bagi mendapatkan maklumat terkini dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan gangguan bekalan air tersebut. - EDISI UKAS