Yang di-Pertua Negeri Sarawak Terima Kunjungan Hormat Delegasi Sambutan Keputeraan Rasmi Agong Peringkat Sarawak
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVII Peringkat Sarawak Tahun 2026 di Astana Negeri Sarawak, pada Selasa.
Delegasi tersebut diketuai Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai selaku menteri bertanggungjawab bagi sambutan berkenaan bersama beberapa anggota jawatankuasa terdiri daripada menteri dan timbalan menteri Kerajaan Sarawak.
Antara yang menyertai kunjungan hormat itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam serta Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu.
Turut mengiringi delegasi ialah Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Dato Georgina Apphia Ngau, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS), Datu Hamdan Sharbini, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan; Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sarawak, Sabri Said; Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Abang Burhanuddin Abang Masuine serta Timbalan Residen Bahagian Betong, Mohammad Nizam Wang.
Kunjungan tersebut bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Pehin Sri dan Toh Puan untuk menghadiri Majlis Kesyukuran serta Majlis Jamuan Teh sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVII Peringkat Sarawak Tahun 2026.
Majlis berkenaan dijadual berlangsung pada 13 dan 14 Jun ini di Bahagian Betong dan merupakan antara acara utama sambutan bagi menzahirkan penghormatan serta kesetiaan rakyat kepada Institusi Raja Berperlembagaan.
Dalam pertemuan itu, Tun Pehin Sri merakamkan penghargaan atas jemputan yang disampaikan oleh jawatankuasa penganjur.
Beliau turut berharap agar sambutan tersebut dapat berlangsung dengan lancar dan mencapai objektifnya dalam menyemarakkan semangat perpaduan, kesetiaan serta kasih rakyat Sarawak terhadap Institusi Raja Berperlembagaan.-EDISI UKAS