Sembilan JKKK DUN Simanggang Terima Peruntukan MRP Bernilai RM35,000
SIMANGGANG: Sebanyak sembilan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang telah menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM35,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta pembangunan komuniti setempat.
Penyerahan cek MRP tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis pada Majlis Ngabang Gawai Dayak yang berlangsung di Rumah Igai Janting, Nyakai Atas, Sri Aman, pada Ahad.
Datuk Francis Harden dengan itu, menasihatkan semua JKKK agar memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan komuniti masing-masing.
Beliau turut menegaskan bahawa JKKK perlu memainkan peranan aktif dalam membantu wakil rakyat kerajaan menjayakan pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan penempatan mereka.
“JKKK harus memberi kerjasama penuh kepada agensi pelaksana dan kontraktor yang diberi tanggungjawab mengendalikan projek RTP seperti pembinaan jambatan konkrit, jalan desa, dewan serbaguna dan gelanggang sukan.
“Saya yakin dengan adanya kerjasama ini, rakyat di bawah pimpinan JKKK akan dapat menikmati manfaat pelaksanaan RTP serta bantuan MRP dalam mempertingkatkan taraf sosial dan kualiti hidup mereka,” katanya.
Antara penerima peruntukan tersebut ialah JKKK Menoa Liu Baru, JKKK Kampung Liu C, JKKK Spatak, JKKK Sengelau dan JKKK Rumah Thomas Genting di kawasan San Undop, Sri Aman.
Bantuan MRP turut diserahkan kepada JKKK Rumah Japing dari Nyakai Undop, JKKK Rumah Igai Janting dari Nyakai Atas, JKKK Raban Dayak Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Fasa II serta JKKK Rumah Lina Bayai Raya di Undop.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah isteri beliau, Datin Simba Nalang, Pemanca Denniel Sawing, Penghulu Mingging Sigan, Penghulu Andar Suntai, Penghulu Empaga Bailey serta Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman, Kaunselor Balean Suji Inggol. - EDISI UKAS.