ICOMOS 2026 Tarik Lebih 1,100 Delegasi Antarabangsa Ke Sarawak
KUCHING: Sarawak bakal menjadi tumpuan dunia apabila lebih 1,100 delegasi antarabangsa telah mendaftar untuk menghadiri Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik ICOMOS Ke-22 yang akan berlangsung di Kuching pada 17 hingga 24 Oktober ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah tersebut hanya melibatkan peserta dari luar negara dan tidak termasuk pendaftaran peserta dari Malaysia yang dijangka meningkat menjelang tarikh acara.
Menurut beliau, penganjuran ICOMOS 2026 merupakan kali pertama acara berprestij itu diadakan di Malaysia, sekali gus memberi penghormatan besar kepada Sarawak sebagai tuan rumah.
“Sehingga kini, lebih 1,100 delegasi dari seluruh dunia telah mendaftar. Ini belum termasuk peserta dari Malaysia yang dijangka mendaftar lebih hampir kepada tarikh acara.
“Kita menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat dan ini sudah tentu sesuatu yang amat membanggakan bagi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media serta majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara ICOMOS Malaysia dan Sarawak Heritage Society di sini, pada Selasa.
Tambah Dato Sri Abdul Karim, penganjuran persidangan berkenaan bukan sahaja meletakkan Sarawak dan Malaysia sebagai pusat perbincangan global mengenai pemuliharaan warisan, pembangunan mampan dan komuniti berdaya tahan, malah memberi peluang untuk mempromosikan negeri ini kepada dunia.
Katanya, kerajaan mahu setiap delegasi yang hadir bukan sekadar menghadiri persidangan, tetapi turut menikmati keindahan Sarawak, makanan tradisional serta produk pelancongan tempatan sebelum menjadi duta kecil yang mempromosikan negeri ini di negara masing-masing.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan dan pemeliharaan warisan perlu bergerak seiring kerana warisan bukan sekadar berkaitan sejarah, malah berperanan membentuk identiti komuniti, menyokong pelancongan budaya serta mewujudkan peluang ekonomi kepada industri kreatif dan tradisional.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ibanez Jeffery