Miri Berpotensi Jadi Pintu Masuk Baharu Pelancong China Ke Sarawak
KUCHING: Miri berpotensi menjadi pintu masuk baharu pelancong dari China ke Sarawak menerusi cadangan memperkenalkan laluan penerbangan terus antara bandar raya itu dengan beberapa destinasi di negara berkenaan pada masa hadapan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, cadangan tersebut dikemukakan kepada Baohang International susulan prestasi memberangsangkan laluan penerbangan terus Guangzhou-Kuching yang mula beroperasi pada 17 Mac lalu.
Menurut beliau, Miri mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan dan perniagaan, selain kedudukannya yang lebih dekat dengan China yang membolehkan tempoh penerbangan lebih singkat serta kos operasi yang lebih kompetitif.
“Miri mempunyai potensi yang amat besar sebagai destinasi pelancongan dan perniagaan. Dari segi geografi, bandar raya ini lebih dekat dengan China, sekali gus menawarkan masa perjalanan yang lebih singkat dan berpotensi mengurangkan kos operasi.
“Selain itu, Miri merupakan pintu masuk ke wilayah utara Sarawak dan menawarkan akses kepada pelbagai tarikan bertaraf dunia termasuk Taman Negara Gunung Mulu, Taman Negara Niah, koridor pertumbuhan Brunei-Sarawak serta pelbagai destinasi eko-pelancongan,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Baohang International, Brandon Zhu di pejabatnya di sini, pada Selasa.
Dalam pertemuan itu, Brandon turut memaklumkan mengenai prestasi laluan penerbangan terus Guangzhou-Kuching yang setakat 6 Jun lalu telah merekodkan 22 penerbangan pergi balik dengan jumlah keseluruhan 5,892 penumpang serta faktor muatan purata sebanyak 85 peratus.
Selain pergerakan penumpang, laluan tersebut turut mengendalikan sebanyak 44 tan kargo sejak dilancarkan, sekali gus mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap kesalinghubungan terus antara Sarawak dan China.
Lee berkata, perkembangan tersebut membuktikan potensi besar pasaran China serta kepentingan memperluaskan rangkaian penerbangan antarabangsa ke Sarawak.
Pada masa sama, beliau menyambut baik hasrat Baohang International untuk meneroka laluan penerbangan terus Shanghai-Kuching pada masa hadapan, yang disifatkan mampu memperkukuhkan hubungan perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara kedua-dua pihak.
Beliau turut menegaskan komitmen Kementerian Pengangkutan Sarawak untuk terus bekerjasama dengan syarikat penerbangan, pemain industri dan rakan strategik dalam memperluaskan kesalinghubungan udara antarabangsa serta memperkukuhkan kedudukan Sarawak sebagai gerbang utama ke Borneo dan rantau ASEAN.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Datu Wong Hee Sieng, Penasihat Teknikal Penerbangan kementerian, Sio Yew Hua serta Ketua Bahagian Penerbangan, Dayang Nurhayati Abang Ahmad.-EDISI UKAS