Sarawak Kekal Prinsip Inklusiviti Dalam Pemerkasaan Undang-Undang Syariah
MIRI: Sarawak menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh sistem perundangan Syariah, namun dalam masa yang sama kekal berpegang teguh kepada prinsip inklusiviti serta keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pendekatan yang diamalkan di Sarawak ketika ini adalah selari dengan tuntutan agama yang menekankan keadilan serta keharmonian, selain berpaksikan amalan tadbir urus yang menghormati kepelbagaian masyarakat.
Jelasnya, prinsip inklusiviti dan keharmonian dalam masyarakat majmuk bukan sahaja menjadi asas pentadbiran negeri, tetapi turut selari dengan nilai yang pernah ditunjukkan dalam sejarah pemerintahan Islam terdahulu, termasuk melalui Piagam Madinah yang menekankan keadilan untuk semua golongan tanpa mengira agama.
“Bukan sahaja memberi keadilan kepada masyarakat Islam, tetapi hal yang sama juga diberikan kepada masyarakat yang bukan beragama Islam.
“Sebab itu saya melihat undang-undang Syariah Sarawak sekarang ini dilaksanakan dengan penuh hikmah, profesional dan menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan serta hak-hak komuniti bukan Islam,” katanya semasa merasmikan Seminar Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah 2026 di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau menyatakan pendekatan Sarawak yang menyeimbangkan aspek perundangan dan perpaduan sosial telah menjadi asas penting dalam memastikan kestabilan serta keharmonian negeri terus terpelihara.
Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan sistem perundangan terus dihormati, diyakini dan diterima dalam konteks masyarakat majmuk yang hidup secara aman dan harmoni.
Ujarnya, Sarawak merupakan contoh sebuah negeri yang berjaya mengekalkan keharmonian walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa, agama, budaya dan latar belakang berbeza.
“Walaupun kita berbeza dari segi bangsa, keturunan, agama dan budaya, namun kita mampu hidup dalam keadaan harmoni, aman damai serta saling bertoleransi.
"Inilah asas yang ditekankan dalam ajaran agama kita,” jelasnya.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Misnu Taha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Mual Suaud. - EDISI UKAS