KOTA SAMARAHAN: Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) membuktikan statusnya sebagai kuasa besar sukan apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Antara Fakulti 2026 (SAF26) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dengan kutipan cemerlang 15 pingat emas, dua perak dan dua gangsa.
Dominasi FSR jauh meninggalkan pencabar terdekat apabila Fakulti Pengurusan dan Perniagaan hanya meraih dua emas, lima perak dan satu gangsa untuk menduduki tempat kedua keseluruhan, manakala UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah berada di kedudukan ketiga menerusi kutipan dua emas dan tiga perak.
Kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan itu menghimpunkan 16 kontinjen mewakili fakulti-fakulti di kampus berkenaan serta penyertaan khas daripada UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah.
Ketua Penyelaras Sukan merangkap Penasihat Jawatankuasa Sukan Pelajar (JSP), Mohammad Noor Azuan Hamdan atau lebih dikenali sebagai Coach Wong berkata, SAF26 menjadi platform penting dalam mencungkil bakat atlet universiti selain memupuk budaya hidup sihat dan semangat kesukanan dalam kalangan mahasiswa.
Menurutnya, sebanyak 23 acara dipertandingkan sepanjang kejohanan, melibatkan tiga acara e-sukan dan 20 acara sukan fizikal yang berlangsung dalam tiga fasa bermula pada 9 Mei hingga 7 Jun lalu.
“Fasa pertama melibatkan pertandingan e-sukan iaitu Mobile Legends: Bang Bang, PUBG Mobile dan e-Football Mobile, manakala fasa kedua dan ketiga menampilkan pelbagai acara sukan termasuk futsal, bola jaring, bola tampar, bola baling, badminton, sepak takraw, petanque, boling dan 'road relay',” katanya.
Beliau berkata, penganjuran SAF26 bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat antara fakulti, malah berperanan mengukuhkan hubungan serta semangat kekitaan dalam kalangan warga UiTM Sarawak.
Majlis Perasmian Penangguhan SAF26 yang berlangsung di Dewan Jubli UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan pada Ahad turut menjadi penghargaan kepada atlet-atlet yang menunjukkan komitmen dan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dr. Firdaus Abdullah.
Turut hadir Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Saimi Bujang, Timbalan Pegawai Sukan UiTM Cawangan Sarawak, Mohd Fauzi Zainuddin, Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohamad Harlique Daniel Hajimi serta Naib Presiden Jawatankuasa Sukan Pelajar, Mohammad Syahrul Batrisyiah Mad Shih.-EDISI UKAS