Naik Taraf Padang Tanjung Bundong Perkasa Pembangunan Belia
KOTA SAMARAHAN: Penduduk Kampung Tanjung Bundong kini menikmati kemudahan sukan yang lebih selesa dan lengkap selepas Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM250,000 bagi menaik taraf Padang Bola Sepak Kampung Tanjung Bundong siap sepenuhnya.
Projek yang dilaksanakan di bawah Projek Kerajaan Sarawak menerusi Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA) itu merangkumi kerja-kerja menaik taraf pentas padang, pembinaan pagar penghadang bola serta penyediaan kemudahan tandas bagi meningkatkan keselesaan pengguna dan penganjuran pelbagai aktiviti sukan.
Majlis Penyerahan Projek Siap RTP itu disempurnakan menerusi penyerahan oleh Penolong Pengurus AQS Maju Enterprise, Mohd Aizuddin Rahman kepada Penghulu Kampung Tanjung Bundong Saraee Konen yang berlangsung di Padang Bola Sepak Kampung Tanjung Bundong, pada Selasa.
Majlis berkenaan turut disaksikan Ketua Marqas Operasi Pusat Khidmat DUN Muara Tuang, Kr Aziz Mohamad yang mewakili Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang, Dato’ Idris Buang.
Menurut Kr Aziz, pelaksanaan projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat luar bandar.
Katanya, padang bola sepak berkenaan merupakan antara aset penting kampung yang menjadi tumpuan golongan belia dan penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti sukan dan riadah.
“Dengan kemudahan yang lebih baik, ia bukan sahaja meningkatkan keselesaan pengguna, malah mampu menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai bakat sukan serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata, kemudahan itu juga berpotensi menjadi lokasi penganjuran pelbagai program komuniti yang dapat mengeratkan hubungan dan semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk.
Projek berkenaan bermula pada 8 Disember 2025 dan berjaya disiapkan pada 25 Mei 2026 dalam tempoh pelaksanaan selama 24 minggu sebelum diserahkan secara rasmi kepada komuniti pada 9 Jun 2026.
Turut hadir Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan, Ratna Sri Ayu serta wakil-wakil agensi pelaksana dan komuniti setempat.-EDISI UKAS