Lawatan Rumah Panjang Perkukuh Agenda Pembangunan Luar Bandar Di Meradong
SARIKEI: Keperluan asas seperti infrastruktur jalan raya dan bekalan elektrik terus menjadi keutamaan dalam usaha memperkukuh kualiti hidup masyarakat luar bandar di kawasan Meradong.
Sehubungan itu, lawatan kerja hari kedua pada Ahad oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii memberi fokus kepada penilaian langsung terhadap isu-isu tersebut di beberapa rumah panjang sekitar kawasan berkenaan.
Lawatan dari rumah ke rumah itu membuka ruang kepada beliau untuk berinteraksi secara dekat dengan penduduk, sekali gus mendengar sendiri pandangan serta keperluan semasa masyarakat setempat.
Antara hasil lawatan tersebut termasuk kelulusan projek pembinaan tapak letak kereta di Rumah Lingang Saow, selain cadangan menaik taraf jalan di Rumah Junis Juli, selepas meninjau sendiri keadaan laluan yang digunakan penduduk setiap hari.
Dalam masa sama, isu bekalan elektrik yang tidak stabil turut diberi perhatian serius, khususnya bagi rumah panjang yang sukar mendapat akses kepada bekalan konvensional.
“Bekalan elektrik adalah keperluan asas setiap keluarga. Bagi rumah panjang yang sukar mendapat akses kepada bekalan elektrik konvensional, panel solar adalah alternatif terbaik yang perlu kita terokai dan laksanakan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok menegaskan bahawa kemudahan jalan raya yang baik serta bekalan elektrik mencukupi merupakan asas penting dalam meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar dan akan terus diberi perhatian secara berperingkat.
“Saya sentiasa mahu turun padang untuk melihat sendiri keadaan rakyat dan mendengar apa yang mereka perlukan. Dengan cara ini, kita dapat memastikan bantuan dan projek yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada penduduk,” ujarnya.
Tambah beliau, setiap rakyat tanpa mengira lokasi sama ada di bandar atau rumah panjang berhak menikmati pembangunan yang seimbang dan kemudahan asas yang sempurna.
Antara kawasan yang dilawati termasuk Mador Ili, Sungai Tulai, Sungai Kelupu, Sungai Kawi, Sungai Kijang serta Batu 5 dan Batu 6 Jalan KJD.-EDISI UKAS