Lawatan Ke Rumah Panjang Perkukuh Hubungan Rakyat Dan Pemimpin
MERADONG: Pendekatan turun padang secara berterusan menerusi program Lawatan Rumah Panjang terus menjadi medium penting dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat di kawasan Meradong.
Program Lawatan Rumah Panjang Hari Ke-30 yang berlangsung petang Isnin menyaksikan sambutan amat menggalakkan daripada penduduk di beberapa kawasan termasuk Sungai Stubah, Sungai Pilit, Lower Sungai Meradong dan Sungai Gemuan, walaupun telah melepasi musim perayaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing yang mengetuai lawatan tersebut bersama isteri, Datin Kueh Nai Fun serta rombongan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor, menegaskan komitmen untuk meneruskan tradisi kunjungan tahunan ke rumah panjang tanpa mengira lokasi dan saiz penempatan.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sekadar lawatan biasa, sebaliknya merupakan platform berkesan untuk mendengar sendiri suara rakyat, khususnya dalam memahami keperluan serta permasalahan yang dihadapi oleh penduduk luar bandar.
“Lawatan ini memberi peluang kepada kita untuk berinteraksi secara langsung dengan Tuai Rumah dan penduduk, sekali gus memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Program tersebut turut dihadiri beberapa pemimpin dan wakil masyarakat setempat termasuk barisan kepimpinan SUPP Cawangan Bintangor serta ketua masyarakat.-EDISI UKAS