KUCHING: Negara-negara ASEAN perlu mewujudkan satu kerangka kerja bersama yang jelas dan dipersetujui semua negara anggota bagi merealisasikan pelaksanaan Grid ASEAN secara berkesan pada masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, meskipun pelbagai cadangan kesalinghubungan grid tenaga telah dikemukakan melibatkan beberapa negara ASEAN, namun masih belum wujud satu kerangka pelaksanaan yang konkrit dan diterima oleh semua pihak.
"Saya melihat bahawa masih belum ada kerangka kerja yang konkrit dan mempunyai kata sepakat berhubung isu kesalinghubungan antara negara-negara anggota.
"Memang terdapat cadangan daripada Laos ke Singapura dan juga cadangan daripada kita untuk membekalkan tenaga ke Indonesia, Filipina dan seterusnya ke Singapura.
"Tetapi sehingga kini, belum ada mekanisme yang jelas mengenai bagaimana kesalinghubungan itu hendak dilaksanakan serta satu kerangka kerja yang boleh diterima oleh semua negara anggota," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Asia Pacific Green Hydrogen Conference and Exhibition (APGH) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Selasa.
Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Sarawak ketika ini mengambil pendekatan kerjasama bilateral dengan negara-negara jiran dalam memperkukuhkan rangkaian tenaga serantau.
Ujarnya, Sarawak kini membekalkan tenaga elektrik kepada Kalimantan Timur, Indonesia melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) dan akan diperluaskan kepada Brunei serta Singapura.
Menurutnya, semua kerjasama tersebut pada masa ini dilaksanakan secara bilateral, namun berpotensi menjadi sebahagian daripada ASEAN Grid apabila kerangka serantau yang sesuai diwujudkan.
Sehubungan itu, Premier Sarawak mencadangkan agar ASEAN meneliti model yang digunakan oleh Kesatuan Eropah (EU) dalam menguruskan sistem tenaga rentas sempadan sebagai rujukan untuk membangunkan kerangka bersama Grid ASEAN.
Jelasnya lagi, Sarawak berada dalam kedudukan yang bersedia untuk menyokong agenda tenaga serantau berikutan kapasiti penjanaan tenaga yang semakin meningkat.
"Bagi pihak Sarawak, kita hanya mengeluarkan tenaga kerana sasaran kita menjelang tahun 2030 adalah untuk menghasilkan sebanyak 10 gigawatt (GW) tenaga.
"Pada masa ini, Sarawak hanya memerlukan kira-kira 6GW tetapi sekiranya pembangunan terus berkembang seperti yang dirancang, mungkin kita memerlukan tambahan sekitar 1GW lagi.
"Ini bermakna kita masih mempunyai lebihan kapasiti sekitar 3GW," ujarnya.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, barisan Menteri Kabinet Sarawak Dan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ketua-ketua Jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi