KUCHING: Cabaran logistik dalam industri hidrogen boleh diatasi menerusi pelbagai pendekatan teknologi yang sedang dibangunkan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, walaupun isu logistik sering dibangkitkan dalam pembangunan industri hidrogen, terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan bagi memastikan tenaga tersebut dapat dipindahkan dan dimanfaatkan secara berkesan.
"Namun, aspek logistik itu boleh dilaksanakan melalui pengeluaran ammonia sebagai salah satu kaedah.
"Selain itu, terdapat juga pendekatan secara hibrid, jadi saya fikir dari sudut logistik, ia bukan satu masalah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Asia Pacific Green Hydrogen Conference and Exhibition (APGH) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Selasa.
Tambahnya, penggunaan hidrogen cecair juga berpotensi dilaksanakan, namun memerlukan proses pemampatan yang melibatkan aspek teknikal tertentu.
Justeru, beliau menyerahkan cabaran itu kepada pakar dalam bidang berkenaan, selain memastikan pembangunan modal insan yang mencukupi bagi menyokong pertumbuhan sektor tersebut.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan aspek paling penting dalam pembangunan ekonomi hidrogen ialah kos pengeluaran tenaga tersebut.
Menurutnya, perkembangan teknologi semasa telah membantu mengurangkan kos pengeluaran hidrogen sehingga menjadikannya semakin kompetitif berbanding bahan api fosil.
"Pada pemerhatian saya, kos tersebut semakin menurun jika dibandingkan dengan bahan api fosil," ujarnya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi