Sarawak Perkasa Perlindungan Sosial Suri Rumah Melalui Kolaborasi KWSP
KUCHING: Usaha memperkukuh jaminan masa depan golongan suri rumah terus diperkasa apabila Kerajaan Sarawak meneruskan kolaborasi strategik bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memperluas perlindungan sosial yang inklusif.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif tersebut memberi fokus kepada kepentingan simpanan jangka panjang khususnya bagi wanita yang tidak bekerja dalam sektor formal.
Menurut beliau, kerjasama antara kementeriannya dan KWSP telah terjalin sejak lima tahun lalu menerusi Program i-Suri yang menyaksikan sumbangan kerajaan negeri bermula pada tahun 2020.
“Seramai 46,632 pencarum telah menerima manfaat dengan jumlah sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM3.4 juta pada peringkat awal pelaksanaan. Malah, Sarawak merupakan antara negeri tertinggi dari segi penyertaan dan sumbangan kepada program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat delegasi KWSP yang diketuai Pengarahnya, Aminuddin Abdul Aziz di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur II, pada Selasa.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak turut menyalurkan peruntukan lebih besar berjumlah RM34 juta bagi membantu suri rumah yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih, sekali gus memastikan kumpulan ini tidak tercicir daripada menikmati manfaat perlindungan sosial.
“Melalui i-Suri, peserta boleh membuat caruman tambahan secara sukarela. Lebih tinggi caruman, lebih besar simpanan serta dividen yang diperoleh dalam tempoh jangka panjang,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa inisiatif tersebut bukan sahaja memberi pulangan dividen yang kompetitif, malah menyediakan perlindungan tambahan seperti bantuan kematian sebanyak RM2,500 serta faedah hilang upaya akibat kemalangan.
Ujarnya lagi, program ini penting bagi merapatkan jurang antara wanita dalam sektor formal dan tidak formal, agar kedua-duanya dapat menikmati kemudahan perlindungan yang setara.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat kekangan pada tahun 2025 apabila tiada sumbangan tambahan daripada kerajaan Persekutuan, berbanding sebelum ini yang menyediakan insentif tambahan sebanyak RM480 setahun.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama berterusan antara kerajaan negeri dan KWSP dapat diperkukuh bagi memastikan lebih ramai suri rumah memperoleh manfaat dan jaminan kewangan yang lebih kukuh selepas persaraan.-EDISI UKAS