UKAS Terima Kunjungan Hormat SESA, Perkukuh Kerjasama Strategik Promosi SAREX 2026
KUCHING: Usaha memperkukuh pembangunan ekosistem e-sukan di Sarawak terus dipergiat menerusi jalinan kerjasama strategik antara Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Sarawak Esports Association (SESA).
Perkara tersebut dizahirkan menerusi kunjungan hormat delegasi SESA ke Ibu Pejabat UKAS pada Isnin yang bertujuan membincangkan potensi kolaborasi sebagai Rakan Strategik Media dan Komunikasi bagi mempromosikan Sarawak Esports Expo (SAREX) 2026.
SAREX 2026 dijadualkan berlangsung pada 28 hingga 30 Ogos ini di VOCO Hotel, Kuching.
Delegasi SESA diketuai oleh Presidennya, Afiq Fadhli Narawi bersama Project Coordination Executive SAREX 2026, Abang Mohd Sharill, manakala kehadiran rombongan itu disambut oleh Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Dalam pertemuan tersebut, SESA menyatakan komitmen untuk memperluas kerjasama dengan UKAS dalam usaha memperhebatkan promosi SAREX 2026 serta memperkenalkan pelbagai inisiatif pembangunan e-sukan di peringkat negeri.
Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk pelaksanaan kempen PUBG MOBILE Oohhaa Sarawak dan Jago Komuniti hasil kerjasama dengan syarikat permainan video antarabangsa, Tencent, yang akan berlangsung dari Jun hingga Ogos 2026.
Kempen tersebut menyasarkan penglibatan aktif golongan belia melalui program pembangunan bakat, aktiviti komuniti serta pendedahan kepada peluang kerjaya dalam industri digital dan esports, sekali gus membuka ruang pekerjaan baharu khususnya menerusi program Jago Komuniti.
Selain itu, SESA turut berkongsi perancangan penerbitan dokumentari berjudul “Project Hero” yang memaparkan perjalanan atlet e-sukan Sarawak dari peringkat akar umbi hingga ke pentas SUKMA 2026 di Selangor.
Beberapa atlet e-sukan Sarawak seperti Nicky Ho Jun Hong, Vincent Yii Kai Liang dari Sibu serta Daniel Wong Li Kai dari Kuching turut dikenal pasti berada dalam radar pasukan kebangsaan dan berpotensi mewakili Malaysia ke temasya Asian Games 2026 di Jepun.
Dalam masa yang sama, kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan kerjasama bagi melaksanakan kempen kesedaran “Internet Selamat” yang memberi penekanan kepada aspek etika penggunaan media sosial, bahaya perjudian dalam talian serta ancaman penipuan siber.
Pendekatan tersebut dilihat penting dalam memastikan komuniti belia lebih celik digital dan memahami landskap sebenar industri e-sukan yang semakin berkembang pesat.
Kunjungan hormat ini mencerminkan kesepakatan antara UKAS dan SESA dalam memperkasakan pembangunan belia melalui pendekatan digital yang positif, inklusif dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab ekonomi digital dan esports yang progresif di rantau ini.-EDISI UKAS