Program Pemimpin Bersama Komuniti Perkukuh Hubungan Dua Hala
PUSA: Program Pemimpin Bersama Komuniti di Kampung Spinang, Pusa terus berperanan sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, program tersebut merupakan siri kedua yang dilaksanakan dan akan diteruskan ke seluruh kawasan DUN berkenaan.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja merapatkan jurang antara pemimpin dan rakyat, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh perpaduan komuniti.
“Program ini merupakan platform terbaik untuk kita mendekati rakyat serta memahami keperluan mereka secara langsung,” ujarnya ketika ditemui media pada Selasa.
Beliau turut menegaskan bahawa kemajuan Sarawak hari ini adalah hasil daripada kepimpinan negeri yang cekap serta kestabilan politik yang berterusan, sekali gus membolehkan pelbagai projek pembangunan dilaksanakan untuk manfaat rakyat.
Selain itu, usaha meningkatkan kemudahan asas di kawasan luar bandar turut diteruskan termasuk pengagihan lampu solar di beberapa lokaliti dalam DUN Beting Maro.
Beliau turut menyeru Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar memainkan peranan lebih proaktif dalam memperkasa pembangunan komuniti serta memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar.
Turut hadir, Pemanca Daerah Pusa, Rosli Uji, Penghulu Zon Pusa, Bujang Beni, Ketua Wanita PBB Beting Maro, Hajijah Lueng, Ketua Kampung Semarang, Suria Azmie serta Ketua Kampung Spinang, Rossi Morsidi.-EDISI UKAS