BETONG: Layar Cycling Carnival (LCC) 2026 kembali untuk edisi kelapan dengan sasaran penyertaan antara 400 hingga 500 pelumba dari dalam dan luar negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara berbasikal lebuh raya paling mencabar dan dinanti-nantikan di Sarawak.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, karnival yang akan berlangsung dari 28 hingga 30 Ogos depan di Layar, Betong bukan sekadar pertandingan berbasikal, malah menjadi platform untuk mempromosikan pelancongan sukan, gaya hidup sihat dan pembangunan bakat muda dalam sukan berbasikal.
Menurut beliau, antara tarikan utama edisi kali ini ialah pengenalan semula laluan ikonik Ulu Layar-Ulu Paku yang disifatkan sebagai “laluan impian” dalam kalangan pelumba kerana menawarkan cabaran berbukit dan berselekoh, khususnya pada 40 kilometer terakhir yang memerlukan ketahanan fizikal serta mental yang tinggi. Laluan perlumbaan lebuh raya sepanjang kira-kira 102 kilometer itu turut mencatat jumlah pendakian dan penurunan setinggi 722 meter.
“Layar Cycling Carnival bukan sahaja bertujuan melahirkan lebih ramai pelumba berkualiti, malah memberi peluang kepada atlet pelapis, pelumba sekolah dan pasukan pembangunan untuk menimba pengalaman dalam suasana perlumbaan kompetitif,” katanya pada sidang media LCC 2026 di pejabatnya di sini pada Selasa.
Beliau menambah, penganjuran tahun lalu menyaksikan penyertaan daripada Brunei, Singapura, Indonesia serta beberapa negara lain termasuk New Zealand dan Afrika, sekali gus membuktikan kemampuan Betong menjadi destinasi pilihan bagi komuniti berbasikal antarabangsa.
Bagi edisi kali ini, antara pasukan yang dijangka menyertai kejohanan berkenaan ialah TSG Cycling Academy, Amigos Suci Brunei, Anak Brunei Cycling Team, RPM Team Indonesia, SSC Development Team, Sonamu Sarawak, Giant Team, Ghost Speed Cycling Team, Tugau Cycling Team, Buceros WDT dan beberapa pasukan lain.
Selain perlumbaan Kriterium dan Highway Race yang menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM53,250, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan termasuk konsert rakyat, wall climbing, sukan rakyat, jualan agro makanan, pameran dan gerai jualan bagi memeriahkan suasana karnival sepanjang tiga hari penganjuran.
Datuk Gerald turut mengajak masyarakat setempat, khususnya ketua masyarakat dan ketua kaum, untuk bersama-sama menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan termasuk sukan rakyat, pickleball dan tenis, selain memanfaatkan peluang mempromosikan produk serta perkhidmatan komuniti menerusi program tersebut.
Pendaftaran peserta kini dibuka dengan yuran RM110 seorang, manakala kadar ‘early bird’ RM95 ditawarkan sehingga 20 Julai depan. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 Ogos 2026.
Beliau berharap orang ramai mengambil kesempatan sempena cuti hujung minggu panjang pada penghujung Ogos untuk berkunjung ke Betong, menikmati pengalaman glamping, homestay, aktiviti rekreasi dan pada masa sama menyaksikan sendiri kemeriahan Layar Cycling Carnival 2026.
Untuk pendaftaran penyertaan sila layari Media Sosial Facebook Rasmi 'Layar Cycling C Carnival' atau Zass Event Management.-EDISI UKAS