Sarawak Water Gesa Pengguna Miri Simpan Bekalan Air Menjelang Kerja Pembaikan Paip Utama
MIRI: Sarawak Water Sdn Bhd menggesa pengguna di Miri supaya membuat persediaan awal dan menyimpan bekalan air secukupnya menjelang pelaksanaan kerja-kerja pembaikan paip utama di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu yang dijadual bermula pada 10 Jun ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd, Malseni Jamal, berkata kebocoran paip berkenaan dikesan selepas pihaknya menerima laporan mengenai takungan air di kawasan tersebut pada 23 Mei lalu sebelum pemantauan teknikal dijalankan secara berterusan selama 24 jam.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan yang dilakukan mengesahkan berlakunya kerosakan pada sistem paip utama, sekali gus memerlukan tindakan pembaikan segera bagi mengelakkan gangguan yang lebih serius kepada pengguna.
Beliau berkata, Sarawak Water telah mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama pelbagai agensi dan pihak berkepentingan pada 5 Jun lalu bagi memastikan operasi pembaikan dapat dilaksanakan dengan lancar serta tidak menjejaskan keselamatan dan kebajikan pengguna.
“Sebanyak 132 anggota melibatkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT), kontraktor dan pasukan operasi telah digerakkan bagi menyokong pelaksanaan kerja pembaikan ini,” katanya ketika sesi temubual mengenai persiapan kerja-kerja pembaikan paip di Sarawak Water Northern Region, Soon Hup Tower pada Selasa.
Tambah beliau, kerja pengasingan sistem akan bermula pada malam 9 Jun bagi mengenal pasti punca sebenar kebocoran sama ada melibatkan paip berdiameter 750 milimeter atau paip utama 1,100 milimeter.
Jelasnya, sekiranya kebocoran berpunca daripada paip 750 milimeter, kira-kira 20,000 akaun pengguna atau 30 peratus kawasan Miri dijangka terjejas, manakala jika melibatkan paip utama 1,100 milimeter, gangguan bekalan air boleh menjejaskan sehingga 50,000 akaun pengguna atau sekitar 70 peratus kawasan Miri.
Bagi mengurangkan kesulitan kepada pengguna, Sarawak Water telah menyediakan 22 lori tangki air, kira-kira 60 tangki statik serta pusat pengumpulan air sementara di kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada hospital, pusat dialisis dan premis-premis kritikal.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik dan mendapatkan maklumat terkini hanya melalui saluran rasmi Sarawak Water.
Pengguna yang memerlukan bantuan atau maklumat lanjut boleh menghubungi talian hotline 24 jam Sarawak Water di 085-426626, 085-436626 atau 010-6675 633.-EDISI UKAS