Seramai 968 KIR Di DUN Stakan Terima Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang

UKAS  > Edisi-Selatan >  Seramai 968 KIR Di DUN Stakan Terima Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang
0 Comments

AHAD, 13 JUN 2021

KOTA SAMARAHAN: Seramai 968 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan menerima pek Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) daripada kerajaan Sarawak.

Bantuan telah diserahkan kepada dua buah kampung iaitu Kampung Quop Dayak iaitu seramai 608 KIR dan Kampung Stakan Cina pula seramai 360 KIR.

Simbolik penyerahan bantuan telah disampaikan oleh Pegawai Khas ADUN Stakan, Mohamad Ainnie Wahab kepada Ketua Kaum Kampung Quop Dayak, Bonita Andrew dan Penghulu Kampung Stakan Cina, Chai Hen Fui dengan turut disertai Penolong Pegawai Daerah Samarahan, Jerry Zannuddin Bidin pada Sabtu.

Mohamad Ainnie Wahab ketika ditemui berkata bantuan berupa makanan keperluan asas ini merupakan inisiatif kerajaan Sarawak untuk membantu mereka yang memerlukan mengikut jumlah KIR yang disasarkan.

Pada masa yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud ketika dihubungi merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan Sarawak dalam membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 ketika ini.

Beliau turut menyeru penduduk khususnya di kawasan DUN Stakan agar terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sarawak yang begitu prihatin dan sentiasa menjaga kebajikan rakyat.

Beberapa penerima yang ditemui pula mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak dan ADUN Stakan di atas bantuan bekalan makanan tersebut dan ianya banyak membantu meringankan beban sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. -EDISI UKAS