Datuk Roland Sagah Tinjau PPV Dewan Masyarakat Tebedu

UKAS  > Edisi-Selatan >  Datuk Roland Sagah Tinjau PPV Dewan Masyarakat Tebedu
0 Comments

SELASA, 22 JUN 2021

SERIAN: Menteri Muda Pemodenan Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn melakukan tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Tebedu pada Selasa.

Beliau memberitahu, seramai 5,178 orang telah menerima suntikan vaksin jenis Sinovac sepanjang 10 hari PPV tersebut beroperasi.

“Saya difahamkan bahawa di PPV ini memberikan lebih kurang 500 dos suntikan vaksin dan sasaran pada masa terdekat ini adalah sekurang-kurangnya 600 dos.

“PPV ini juga boleh mencapai kapasiti 800 dos suntikan vaksin dalam sehari bagi mempercepatkan program vaksinasi di daerah Tebedu,” katanya.

Datuk Roland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat menambah, sebanyak tujuh kampung dari kawasan Jalan Link Padawan menerima suntikan vaksin dos pertama mereka menerusi sistem hibrid.

Selain itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat yang telah menyumbangkan buah-buahan kepada petugas di PPV tersebut.-EDISI UKAS