PICK Di DUN Marudi Dapat Sambutan Menggalakkan

UKAS  > Edisi-Utara >  PICK Di DUN Marudi Dapat Sambutan Menggalakkan
0 Comments

SELASA, 22 JUN 2021

MARUDI: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat. 

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata, jumlah penduduk yang menerima suntikan vaksin di tiga buah PPV idi Beluru, Long Lama dan Marudi meningkat berbanding jumlah mereka yang mendaftar. 

“Di Marudi misalnya, apa yang telah dimaklumkan kepada saya sehingga hari ini seramai 8,458 penduduk telah mendapatkan suntikan dos pertama mereka berbanding hanya 7,000 lebih sahaja yang mendaftar. 

“Manakala, bagi Daerah Beluru sebanyak 4,000 lebih sudah mendapatkan dos pertama mereka dengan menggunakan kaedah hibrid dan aplikasi Mysejahtera,” katanya.  

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan dan mendengar taklimat mengenai proses vaksinasi COVID-19 di PPV Dewan Suarah Marudi pada Isnin. 

Dalam lawatan itu, Datu Dr Penguang Manggil telah menyerahkan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada dua buah persatuan di Daerah Marudi iaitu Kelab Sokanjaya Jabatan Kerja Raya (JKR) Marudi sebanyak RM5,000 dan Tadika Yuk Ing Marudi sebanyak RM10,000. 

Dalam perkembangan sama, Datu Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi menambah, sasaran 80 peratus penduduk di DUN Marudi mendapat suntikan vaksin akan dapat dicapai dengan menggunakan sistem hibrid dan menggunakan aplikasi MySejahtera. 

“Apa yang kita mahu supaya semua penduduk mendapatkan vaksin mereka supaya sasaran 80 peratus penduduk sudah divaksin dan akan dapat dicapai menjelang bulan Ogos 2021.

“Ianya dapat dicapai di mana kita menggunakan sistem hibrid iaitu menggunakan senarai yang terdapat di aplikasi Mysejahtera dan juga senarai nama yang diberikan oleh Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Tuai Rumah. Setiap penerima akan dipanggil mengikut kampung-kampung mereka,” ujarnya. 

Turut sama hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Marudi Norlila Ulis dan Pegawai Dari Pejabat Kesihatan Daerah Marudi Dr Ruthashini R Selvasengam. -EDISI UKAS