Tamu Hari Khamis Jumaat Dipindah Ke Kawasan Lapang Medan Selera Limbang

UKAS  > Edisi-Utara >  Tamu Hari Khamis Jumaat Dipindah Ke Kawasan Lapang Medan Selera Limbang
0 Comments

KHAMIS, 29 JULAI 2021

LIMBANG: Majlis Daerah Limbang telah membuat keputusan memindahkan Tamu Khamis/Jumaat bersebelahan kawasan lapang Medan Selera Limbang, Bangunan Wisma Persekutuan dan Bangunan Pejabat Pos Limbang. 

Menurut Setiausaha Majlis Daerah Limbang Petrick Linggie, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang tempat yang sering digunakan untuk berniaga pada Tamu Khamis/Jumaat tempat letak kereta bersebelahan Bangunan Limbang Plaza menggunakan tempat letak kenderaan tersebut sepenuhnya bagi urusan pejabat dan membeli belah di Limbang Plaza.

“Sepanjang pandemik COVID-19 dan penguatkuasaan prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua peraturan pendaftaran, penggunaan pelitup muka, penjarakkan sosial dan penggunaan ‘hand snitizer’ masih perlu diamalkan sepanjang kunjungan membeli-belah di Tamu Khamis/Jumaat. 

“Sebanyak 64 ruang niaga telah disediakan Majlis Daerah Limbang, namun ianya masih tidak mencukupi kerana ada peniaga-peniaga yang terpaksa menggunakan tepi jalan bersebelahan Bangunan Medan Selera Limbang dan sepanjang jalan masuk ke Bangunan Wisma Persekutuan digunakan untuk menjual barangan penjaja,” katanya semasa ditemui pada Khamis. 

Mengulas lanjut, Petrick menyatakan bahawa kawasan ini digunakan bagi mengelakkan kesesakan letak kenderaan bersebelahan Limbang Plaza dan di kawasan baru ini sebagai percubaan untuk Tamu Khamis/Jumaat. 

Jika semua permasalahan letak kenderaan dan aliran trafik tidak terganggu kemungkinan ianya akan diteruskan di masa akan datang.

Sementara itu, para peniaga yang ditemui berkata, mereka akur dengan keputusan dari Majlis Daerah Limbang untuk memindahkan peniaga-peniaga Khamis/Jumaat di kawasan lapang yang baru. 

“Ini akan menjadi cabaran bagi peniaga-peniaga kerana terpaksa mengangkat dan memastikan keselamatan barangan mereka terjamin apabila ditinggalkan di satu kawasan penyimpanan sementara di kawasan baru tersebut. 

“Masa berniaga bermula jam 6:00 pagi dan telah dilanjutkan sehingga 4:00 petang bagi semua kawasan perniagaan,” ujarnya. 

Peniaga juga berharap kawasan baharu ini akan berkekalan lebih lama dan tidak perlu lagi untuk berpindah-randah mengangkut barangan perniagaan mereka. 

Dalam pada itu, mereka mengucapkan terima kasih kepada Majlis Daerah Limbang kerana telah meluluskan Tamu Khamis/Jumaat yang dibuka semula kerana telah terlalu lama mereka tidak dapat berniaga akibat PKP yang dilaksanakan sebelum ini. -EDISI UKAS