Dua Arkitek Sarawak Juarai Pertandingan Seni Bina Langit

UKAS  > Edisi-Utama >  Dua Arkitek Sarawak Juarai Pertandingan Seni Bina Langit
0 Comments

SABTU, 7 OGOS 2021

KUCHING: Dua arkitek dari Sarawak, Jascinta Yii dan Alan Kueh telah dinobatkan johan Pertandingan Seni Bina Langit, iaitu pertandingan seni bina kebangsaan yang julung kali diadakan di Sarawak.

Jascinta dan Alan merupakan pengamal seni bina berpangkalan di Kuching dan Melbourne, Australia.

Lebih manis apabila majlis pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah pertandingan tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bertempat di bangunan Hock Seng Lee, Jalan Tabuan, Kuching pada Sabtu.

Penyertaan pemenang merupakan sebuah bangunan komersial pelbagai kegunaan setinggi 18 tingkat yang mesra alam dengan penyediaan unit-unit tempat tinggal dan kerja berbagai generasi.

Dalam pada itu, Ketua Menteri semasa berucap dalam majlis tersebut berkata, dengan bakat, inovasi dan idea baru daripada para arkitek, ia dapat membantu negeri ini merealisasikan aspirasi menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

“Sekarang ini kita memerlukan bakat, inovasi dan idea baru kerana dengan eksosistem seperti ini, saya pasti ia dapat membantu merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menekankan perumahan di negeri sarawak perlu dirancang dengan persekitaran hidup yang kondusif untuk generasi masa kini dan akan datang.

Ujarnya, perancangan perlu mengambil kira pertumbuhan populasi dan demografi di Negeri Sarawak.

“Mengambil kira pertumbuhan populasi dan demografi Sarawak, menjelang 2030 hingga 2050 akan terdapat ramai warga tua dengan kadar purata umur 70 tahun.

“Mengambil kira perkara ini, kehidupan masyarakat mesti disediakan dengan perkhidmatan sosial seperti rumah jagaan warga emas dalam kawasan perumahan supaya warga emas dapat menikmati hidup dengan sistem sokongan yang baik.

“Generasi muda akan bergiat aktif dalam bidang lain seperti perniagaan, rutin harian bekerja dan sebagainya tetapi warga tua pula memerlukan sokongan sosial,” jelas beliau.-EDISI UKAS