JaPen Seru Orang Ramai Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan

UKAS  > Edisi-Selatan >  JaPen Seru Orang Ramai Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan
0 Comments

AHAD, 15 OGOS 2021

SEBUYAU: Sempena Bulan Kebangsaan, Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Simunjan mengambil inisiatif memperkasa Pusat Maklumat Rakyat (PMR) menerusi program Komuniti PMR Daerah Simunjan yang diadakan di Kampung Sawmill Sebuyau pada Sabtu.

Penyerahan simbolik Jalur Gemilang yang disampaikan oleh wakil Pegawai Penerangan Daerah Simunjan, Suherman Sari, kepada Pengerusi Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Daerah Sebuyau, Juliea Ahmad untuk diserahkan kepada penduduk setempat melalui Pengerusi dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). 

Program tersebut bertujuan untuk mempromosikan PMR kepada warga setempat dan melaksanakan aktiviti-aktiviti pemerkasaan berkaitan semangat patriotisme.

Selain itu, program tersebut bertujuan untuk memberi kesedaran kepada  masyarakat terhadap perkhidmatan disediakan oleh PMR yang memasarkan maklumat terkini kerajaan pada orang ramai.

Dalam pada itu, Jabatan Penerangan Daerah Simunjan turut menyeru orang ramai menyemarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing. -EDISI UKAS