Penduduk Rumah Panjang Lega, Jeti Kayu Punca Rezeki Dibaikpulih

UKAS  > Edisi-Tengah >  Penduduk Rumah Panjang Lega, Jeti Kayu Punca Rezeki Dibaikpulih
0 Comments

AHAD, 15 OGOS 2021

SIBU: Dilema dihadapi penduduk Rumah Chendang Ambau, Sungai Asan bakal berakhir selepas Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) tampil dengan inisiatif membaikpulih lima jeti kayu yang menjadi kemudahan penting untuk mereka mencari hasil sungai dan hutan.

Timbalan Pengerusi MDLBS merangkap Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong, Kaunselor Wong Ching Yong menjelaskan, sebanyak RM92,000 diperuntukkan bagi membaikpulih jeti berkenaan.

Katanya, jeti itu perlu untuk dibaikpulih kerana ia sudah terlampu uzur dan sangat penting untuk penduduk di rumah panjang itu meneruskan kelangsungan hidup.

“Terdapat lima buah jeti kayu yang telah uzur berusia lebih 40 tahun telah dibaikpulih 20 tahun lalu. Tuai Rumah Chendang telah memohon kepada MDLBS bagi pembinaan segera semula jeti kayu tersebut.

“Pihak MDLBS telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM92,000 bagi penyelenggaraan semula jeti kayu tersebut,” katanya menjelas kepada media semasa meninjau pembinaan jeti itu pada Sabtu.

Menurut Wong, pembinaan platform juga penting untuk membolehkan penduduk rumah panjang pergi ke sungai melakukan kerja harian seperti mencuci baju dan mandi.

Sementara itu, Tuai Rumah Chendang Ambau amat berterima kasih kepada Wong dan pihak MDLBS atas bantuan yang diberikan membaikpulih jeti baru kepada penduduk rumah panjang beliau.

Sementara itu, Wong turut berkesempatan meninjau projek pembinaan jambatan baru yang menghubungi Rumah Udam, Sungai Menyan.

Jambatan besi tersebut telah siap dibina dan akan memberi manfaat kepada lebih 140 penduduk di rumah panjang tersebut.

Wong dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi merangkap ADUN Nangka, Dr Annuar Rapaee atas bantuan mendapatkan dana untuk pembinaan jambatan baru tersebut.

Terdahulu, semasa melakukan lawatan kerja ke SK Sungai Durin, Wong melahirkan rasa kecewa kerana Jabatan Pendidikan belum lagi menyalurkan dana untuk sekolah berkenaan bagi membaikpulih pelbagai kemudahan yang sudah uzur.

Menurutnya, kerja-kerja baikpulih itu sangat penting kerana SK Sg Durin merupakan sekolah terbesar di kawasan Dudong yang mempunyai seramai 240 pelajar dari lebih 20 buah rumah panjang.

Jelas Wong, beliau telah menulis surat kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sebelum ini berkenaan masalah tersebut dan dimaklumkan sebahagian daripada sekolah lain telah menerima peruntukan untuk dibaikpulih.

Justeru, beliau berharap SK Sungai Durin juga menerima peruntukan yang sama seperti sekolah yang lain untuk kegunaan membaikpulih siling, atap dan blok asrama lelaki dan perempuan.

Wong beserta rombongannya kemudian meneruskan lawatan meninjau SK Sungai Menyan.

Ia berikutan keadaan bangunan pra sekolah itu telah senget dan tidak selamat digunakan serta berbahaya kepada pelajar sekolah. – EDISI UKAS