Program Grid Bekalan Air Sarawak Pacu Ekonomi, Optimis Bekal Air Ke Negara Jiran Pada Masa Depan

UKAS  > Edisi-Utama, Edisi-Utara >  Program Grid Bekalan Air Sarawak Pacu Ekonomi, Optimis Bekal Air Ke Negara Jiran Pada Masa Depan
0 Comments

RABU, 18 OGOS 2021

MIRI: Pembangunan Program Grid Bekalan Air Sarawak akan memacu pembangunan industri air sekaligus menjana pendapatan negeri ini menerusi pembekalan bekalan air ke negara jiran pada masa depan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, memandangkan air adalah komoditi yang berharga, kerajaan negeri boleh menjana pendapatan tambahan menerusi pembekalan air ke negara jiran sekiranya mempunyai lebihan bekalan air.

Malah menurutnya, Program Grid Bekalan Air Sarawak itu juga akan memastikan kesemua kawasan di negeri ini diliputi bekalan air bersih menjelang tahun 2025.

“Sekiranya kita mempunyai lebihan bekalan air yang kita bekalkan untuk rakyat Sarawak, kita boleh bekalkan bekalan air kepada negara jiran kita pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) dan Penyerahan Takungan Tadahan Air di Bukit Selatan daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar kepada LAKU pada Rabu.

Turut hadir ialah, Menteri Utiliti, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Pengerusi LAKU, Datuk Nelson Balang Rining serta tetamu kehormat lain.

Dalam pada itu, Ketua Menteri memberitahu, menerusi Program Grid Bekalan Air Sarawak, pengurusan air secara bersepadu akan diletakkan di bawah satu pangkalan data dan unit tunggal.

Jelas beliau, buat masa ini terdapat tiga entiti yang menguruskan pembekalan air iaitu Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan LAKU.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberitahu, akan menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pemilihan Perdana Menteri kesembilan. -EDISI UKAS