IPD Tatau Aktifkan Operasi SAR Cari Mangsa Hilang Di Sungai Serupai

UKAS  > Edisi-Utara >  IPD Tatau Aktifkan Operasi SAR Cari Mangsa Hilang Di Sungai Serupai
0 Comments

SELASA, 24 OGOS 2021

TATAU: Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau mengesahkan telah menerima satu laporan melibatkan seorang lelaki Iban, berumur 47 tahun yang didapati bertindak terjun ke Sungai Serupai di belakang Rumah Ajah Umkar pada jam 3.30 petang pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis dalam kenyataan media pada Isnin berkata, pengadu yang juga saksi kejadian yang merupakan ibu kandung mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tatau.

Sehubungan itu, IPD Tatau telah bertindak mengaktifkan pusat dan seterusnya membuat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).

“Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa telah mengalami kemurungan sejak seminggu lepas serta mempunyai sejarah penyakit mental dan bergantung kepada ubat.

“Operasi pada hari ini (Isnin) memasuki hari kedua di mana pelbagai agensi penyelamat turut terlibat dengan misi pencarian di sekitar 2 KM Sungai Serupai, Tatau.

“Operasi hari ini ditamatkan jam 6:00 petang atas faktor keselamatan dan cuaca yang tidak mengizinkan,” katanya. 

Sehubungan itu, polis memohon mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes ini agar tampil membantu memberikan maklumat berkaitan dengan kes kehilangan mangsa dan boleh berhubung dengan Ketua Polis Balai Tatau, Sarjan Zaidi Selamat di talian 012-873 3117.-EDISI UKAS