AADK Disaran Kerap Anjur Program Kesedaran Di Kawasan Luar Bandar

UKAS  > Edisi-Tengah >  AADK Disaran Kerap Anjur Program Kesedaran Di Kawasan Luar Bandar
0 Comments

KHAMIS, 26 OGOS 2021

MATU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) peringkat daerah disarankan agar kerap menganjurkan program di kawasan luar bandar bagi memberi penerangan serta mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap bahayanya penyalahgunaan dadah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya berkata langkah itu penting kerana menyedari masyarakat di luar bandar sering menjadi sasaran pengedar bahan terlarang tersebut.

“Saya juga meminta ketua-ketua masyarakat untuk segera melapor jika ada mereka yang menyalahgunakan bahan-bahan terlarang ini di kampung masing-masing tanpa perlu rasa malu dan merasakan ia perkara mengaibkan kerana kita perlu tahu bahawa penyalahgunaan dadah membawa kesan yang cukup negatif kepada individu terbabit.”

Dato’ Dr Juanda menjelas demikian kepada UKAS selepas merasmikan Program Community Empowerment/Policing Daerah Matu dengan kerjasama One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Daerah Matu di Dewan Masyarakat Pergau, Matu pada Rabu.

Beliau juga berharap pihak polis dan AADK melakukan penguatkuasaan secara berterusan dengan dibantu JKKK dan masyarakat di peringkat akar umbi untuk menutup pintu semua pengedar-pengedah dadah.

Terdahulu semasa berucap, Dato’ Dr Juanda menggesa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) untuk mempraktikkan pengurusan moden yang lebih telus kerana ia faktor kejayaan sesebuah negara pada zaman moden.

Katanya, konsep moden itu memberi penekanan terhadap ‘good governance’ iaitu pentadbiran yang baik, teratur dan tersusun serta ‘transparency’ iaitu sentiasa telus dan jelas dalam melaksanakan segala perkara.

KMKK jelasnya juga perlu memainkan peranan dalam membantu penduduk yang memerlukan, menghidupkan aktiviti gotong-royong dan melakukan aktiviti bermanfaat menggunakan peruntukan yang disalurkan kepada JKKK masing-masing setiap tahun. – EDISI UKAS