MDL Turun Padang, Pastikan Peniaga Dan Pengunjung Fahami SOP Terbaharu

UKAS  > Edisi-Utara >  MDL Turun Padang, Pastikan Peniaga Dan Pengunjung Fahami SOP Terbaharu
0 Comments

JUMAAT, 27 OGOS 2021

LIMBANG: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang telah melaksanakan pengemaskinian Prosedur Operasi Standard (SOP) di Daerah Limbang sejajar dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3. 

Menurut Walikota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat, masih ramai peniaga dan pengunjung yang masih belum memahami pelaksanaan SOP baharu khususnya berkenaan dengan mewajibkan dos lengkap vaksin COVID-19. 

Atas sebab itu, MDL turun padang untuk memastikan semua peniaga, pembantu dan juga pengunjung faham tentang SOP yang sedang digunakan ketika ini. 

“SOP yang terbaru adalah berkenaan dengan vaksin. Jadi, mana-mana peniaga, pembantu dan juga pengunjung yang belum lengkap divaksinasi mereka tidak dibenarkan beniaga dan masuk ke premis-premis Majlis Daerah Limbang.

“Ini bukan sahaja di Bangunan Pasar Limbang ini tetapi juga di Bangunan Tamu Limbang, Medan Selera, Medan Bangkita dan juga Tamu Besar Khamis dan Jumaat,” katanya semasa ditemu bual media selepas mengadakan pemantauan SOP di Bangunan Pasar Limbang dan Tamu Limbang pada Jumaat. 

Tambahnya, SOP baharu ini telah dikuatkuasakan pada 13 Ogos lepas dan sebab pihaknya datang untuk memaklumkan kepada orang ramai dan peniaga supaya peka serta patuh dengan SOP ini.

Jelas Sufian lagi, pelaksanaan kemasukan ke premis MDL dengan mewajibkan orang ramai dan peniaga mempunyai dua dos lengkap vaksin COVID-19 dilihat sebagai langkah penting mendapatkan vaksin COVID-19 sebagai pelindung diri. 

“Masih ada sebilangan kecil masyarakat yang masih tidak mahu dan mengambil kisah berkaitan dengan vaksin ini. 

“Jadi, ini adalah salah satu strategi kerajaan untuk mengalakkan orang ramai mengambil vaksin,” jelasnya. 

MDL akan bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk memastikan masyarakat di Limbang termasuk peniaga patuh kepada SOP yang telah pun dikuatkuasakan kerajaan. 

Hadir sama Kaunselor Mathew Ling Han Khin, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Daerah Limbang Diana Essa dan Pembantu Penguatkuasa Majlis Daerah Limbang Norrizan Sabing.-EDISI UKAS