ACD: 1,012 Orang Penduduk Kampung Sibuluh & Kampung Nowang Jalani Ujian Saringan COVID-19 Kedua

UKAS  > Edisi-Selatan >  ACD: 1,012 Orang Penduduk Kampung Sibuluh & Kampung Nowang Jalani Ujian Saringan COVID-19 Kedua
0 Comments

AHAD, 29 OGOS 2021

BAU: Seramai 1,012 orang penduduk dari dua kampung yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Kampung Sibuluh dan Kampung Nowang menjalani ujian saringan COVID-19 dalam aktiviti pengesanan kes aktif (ACD) kali kedua pada Ahad.

Daripada jumlah tersebut seramai 527 orang adalah lelaki, manakala seramai 485 orang lagi wanita.

Sementara itu, bilangan pecahan mengikut kategori usia individu terbabit adalah yang berumur 12 tahun dan ke bawah seramai 170 orang, berumur 13 hingga 17 tahun (96), dan 18 hingga 59 tahun (564) orang manakala selebihnya warga emas berumur 60 tahun ke atas (182).

Turut dikesan adalah seramai 109 orang yang mempunyai kontak rapat dan 93 orang lagi dikesan bergejala.

ACD yang dikendalikan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bau itu bermula dari pukul 8 pagi hingga 11.30 pagi itu dijalankan di Dewan Serbaguna Kampung Sibuluh.

Sebanyak 559 sampel telah diambil dari proses ACD berkenaan yang dilaksanakan oleh seramai 44 orang petugas dari PKD Bau dan seramai empat petugas dari pasukan makmal Kuching.

Proses pelaksanaan ACD berjalan lancar dengan turut dibantu petugas dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).-EDISI UKAS