Pemimpin Akar Umbi Diingat Tidak Salahgunakan Kedudukan

UKAS  > Edisi-Tengah >  Pemimpin Akar Umbi Diingat Tidak Salahgunakan Kedudukan
0 Comments

RABU, 15 SEPTEMBER 2021

MERADONG: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) termasuk ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diingatkan agar tidak menyalahgunakan kedudukan mereka untuk kepentingan diri.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, sikap tidak berintegriti JKKK atau KMKK akan menyebabkan masyarakat hilang keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan dan pemimpin di peringkat akar umbi.

“Saya ingin tegaskan kepada tuan-tuan agar pengerusi dan ahli JKKK atau KMKK sentiasa menjaga imej sebagai pemimpin yang berintegriti tinggi.

“Saya tidak mahu ada di kalangan KMKK menyalahgunakan kdudukan mereka sebab jika JKKK tidak berintegriti maka secara tidak langsung, masyarakat tidak akan yakin dengan kepimpinan kerajaan serta kepimpinan tuan-tuan di peringkat kampung.”

Datuk Ding berucap demikian dalam Program Taklimat Kepolisan Komuniti Daerah Meradong Fasa 3 Siri 2 Tahun 2021 pada Rabu.

Beliau turut menggesa pemimpin akar umbi untuk memahami dan menyebarluaskan maklumat dan garis panduan (SOP) kepada masyarakat untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua dalam ceramahnya menggesa pemimpin peringkat akar umbi mengekalkan integriti untuk menjadi ‘role model’ kepada masyarakat. – EDISI UKAS