Inisiatif Pemberian Komputer ‘Raspberry Pi’ Bantu Tingkatkan Kemahiran Pelajar Dalam Dunia Digital

UKAS  > Edisi-Utara >  Inisiatif Pemberian Komputer ‘Raspberry Pi’ Bantu Tingkatkan Kemahiran Pelajar Dalam Dunia Digital
0 Comments

ISNIN, 20 SEPTEMBER 2021

LAWAS: Kerajaan Sarawak mengambil berat terhadap keperluan pendidikan pelajar-pelajar di negeri ini termasuk di Daerah Lawas dalam memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pemberian komputer Raspberry Pi ini merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk membangunkan modal insan di negeri ini termasuk latihan untuk pelajar dan guru. 

“Jumlah komputer yang diberi adalah bergantung kepada jumlah murid.

“Penguasaan dari segi IT dan platfom digital amat penting dalam aktiviti seharian kita. 

“Ini suatu yang amat berguna sekali dan saya mengharapkan kemudahan seperti ini akan dimanfaatkan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Komputer “RASPBERRY PI” Daerah Lawas, Simbolik Penyerahan Baucar Pakaian Seragam Yayasan Sarawak Daerah Lawas 2021, Penyampaian Sumbangan Laptop, Penyerahan Sumbangan Kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Lawas di Pejabat Daerah Lawas pada Sabtu. 

Sebanyak RM12 juta telah diperuntukan Kerajaan Sarawak bagi pemberian komputer Raspberry Pi ini dengan 31 buah sekolah rendah di Daerah Lawas akan menerima komputer ini secara berperingkat. 

Mengulas lanjut, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari memberitahu untuk memastikan usaha meningkatkan modal insan ini dapat dicapai, Kerajaan Sarawak berusaha meningkatkan capaian internet dan menambah baik kemudahan sedia ada sama ada di bandar mahupun di luar bandar. 

Jelasnya, beberapa projek dan program telah dirancang untuk meningkatkan lagi perhubungan internet samada di bandar atau di luar bandar.

“Banyak juga projek yang telah dirancang ini sudah sedia untuk dilaksana tetapi, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua kerja itu tergendala sama seperti projek-projek lain. 

“Usaha ini akan kita teruskan jika keadaan mengizinkan,” jelasnya. 

Selepas program tersebut, beliau telah ke Kampung Siang Siang Laut bagi menziarahi sebuah keluarga yang anaknya telah meninggal dunia akibat lemas kira-kira tiga minggu lepas. 

Hadir sama Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Pegawai Pendidikan Daerah Lawas Sawal Pandin. -EDISI UKAS