Individu Tamat Kuarantin Perlu Ke Stadium Terbuka Miri Untuk Proses Pelepasan Kuarantin Dan Pemotongan Gelang

UKAS  > Edisi-Utara >  Individu Tamat Kuarantin Perlu Ke Stadium Terbuka Miri Untuk Proses Pelepasan Kuarantin Dan Pemotongan Gelang
0 Comments

SELASA, 21 SEPTEMBER 2021

Individu yang telah selesai menjalani kuarantin kendiri di rumah perlu pergi ke Stadium Terbuka Miri bagi proses pelepasan kuarantin dan pemotongan gelang. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata mereka boleh melakukan proses itu dengan hanya pandu lalu ke Stadium Terbuka Miri yang telah mula beroperasi pada 19 September lepas. 

“Bagi individu yang selesai menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari akan ke Stadium Terbuka Miri untuk mendapatkan surat pelepasan kuarantin dan pemotongan gelang pengawasan. 

“Urusan tersebut akan dilakukan melalui cara pandu lalu (Drive-thru) untuk keselesaan orang ramai,” katanya menerusi kenyataan media pada Selasa selepas melakukan lawatan ke Pusat Pengeluaran Surat Pelepasan Kuarantin dan Pemotongan Gelang Pengawasan Bahagian Miri, di Stadium Terbuka Miri (Miri Outdoor Stadium) pada petang Isnin. 

Dianggarkan lebih 300 orang sehari menaiki kenderaan masing-masing secara pandu lalu mampu mengurangkan kesesakan dan memberi keadaan yang keselesaan kepada orang ramai.

Bagi orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan COVID-19, boleh berhubung terus dengan Bilik Gerakan COVID-19 Pejabat Kesihatan Miri di nombor 085-322085. 

Turut sama hadir Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P. Raviwharmman A/L Packierisamy, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri Kapten (PA) Usman Harto dan jabatan dan agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri. -EDISI UKAS