Cadangan Rangkaian Jalan Sempadan Dimasukkan Dalam HNDP 2030: Dato’ Sri Fadillah Yusof

UKAS  > Edisi-Utama >  Cadangan Rangkaian Jalan Sempadan Dimasukkan Dalam HNDP 2030: Dato’ Sri Fadillah Yusof
0 Comments

RABU, 22 SEPTEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengambil inisiatif dengan memasukkan cadangan rangkaian jalan sempadan sebagai salah satu strategi dalam skop kajian bagi Kajian Semula Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya (HNDP) 2030 bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, kementeriannya mengambil perhatian akan perancangan Kerajaan Indonesia untuk memindahkan ibu kota baharunya ke Kalimantan.

Jelasnya, permohonan untuk melaksanakan kajian ini telah diangkat untuk pertimbangan Agensi Pusat dalam Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

“Pelaksanaan bagi pembinaan rangkaian jalan sempadan ini kelak adalah bergantung kepada hasil dapatan kajian serta keutamaan projek dan keupayaan kewangan Kerajaan,” katanya semasa sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja Tahun 2021 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim telah membangkitkan isu berkenaan semasa ucapan perbahasan Titah Diraja Tahun 2021.

Mengenai isu berkaitan Kawasan Rehat dan Rawat di sepanjang Projek Lebuhraya Pan Borneo yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat, Dato’ Sri Fadillah memberitahu, terdapat tiga kawasan Rehat dan Rawat (RSA) yang dibina di sepanjang Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak iaitu di Jelukong, Sungai Basai dan Lambir.

Katanya, pembinaan RSA dengan keluasan 10 ekar bakal membolehkan usahawan tempatan untuk menjana pendapatan dengan mengusahakan kemudahan kedai makan dan pasar tamu di kawasan tersebut. -EDISI UKAS