Seramai 635 Pelajar SMK Sri Aman Divaksinasi Dos Pertama

UKAS  > Edisi-Selatan >  Seramai 635 Pelajar SMK Sri Aman Divaksinasi Dos Pertama
0 Comments

AHAD, 26 SEPTEMBER 2021

SRI AMAN: Seramai 635 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman menjadi kumpulan remaja terawal menerima vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Sri Aman.

Program Vaksinasi Remaja atau lebih dikenali sebagai CITF-A di Sarawak telah bermula 8 September lepas di mana kumpulan pertama dimulai dengan pelajar berumur 16 dan 17 tahun.

Manakala bermula pada Sabtu, proses vaksinasi melibatkan pelajar berumur 12 sehingga 15 tahun di negeri ini yang merangkumi 192,800 atau 6.9 peratus daripada populasi negeri.

Menurut Dr Janariah Jangani selaku urusetia PPV Bahagian Sri Aman, pelajar di sekolah berkenaan menerima suntikan pertama vaksin jenis Pfizer.

Katanya, program vaksinasi itu akan diteruskan sehingga 30 September dan dilaksanakan mengikut penjadualan setelah perbincangan dilakukan antara Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sri Aman.

Sementara itu, rata-rata ibu bapa dan pelajar yang hadir bersyukur dan teruja dengan proses vaksinasi tersebut. -EDISI UKAS