Operasi CARILAMAT Bot Karam Dan Pemancing Hilang, Pasukan Penyelamat Perluaskan Sektor Pencarian

UKAS  > Edisi-Selatan >  Operasi CARILAMAT Bot Karam Dan Pemancing Hilang, Pasukan Penyelamat Perluaskan Sektor Pencarian
0 Comments

RABU, 6 OKTOBER 2021

KUCHING: Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching, di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama lain-lain agensi diteruskan pada hari ke 5. 

Sehingga kini, masih belum menemui sebarang petunjuk baharu ke atas seorang lagi mangsa yang masih hilang semasa insiden bot karam.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman bin Md Yunus berkata, keluasan pencarian pada hari ini seluas 312.71 batu nautika persegi. 

“Fokus pencarian hari ini merangkumi pencarian di laut dan pesisir pantai Tanjung Po, Pulau Lakei, Santubong, Tanjung Sipang, Pulau Satang, Pantai Trombol, Telaga Air sehingga ke Tanjung Datu. 

“Sebanyak 14 aset pasukan penyelamat terlibat dalam pencarian di laut serta pesisir pantai pada hari ini, iaitu dua aset Maritim Malaysia KM Sri Aman dan Pengawal 6, tiga aset Pasukan Polis Marin PA1, RH 23 dan PSC 34, tiga bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), satu aset Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) JPLS20, satu aset Angkatan Pertahanan Awam Malayisa (APM), serta dua aset Sarawak Coast Guard SC Barracuda dan SC Tenggiri. 

“Misi pencarian turut disertai dan dibantu beberapa bot pancing komuniti maritim tempatan,” katanya menerusi kenyataan media pada Rabu. 

Tambah Zin Azman lagi, pencarian udara pula melibatkan aset Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, Helikopter Ecureuil AS355N dan Unit Udara Bomba Sarawak, Helikopter MI 171 yang melakukan pencarian melalui udara dari Santubong ke Tanjung Datu.

Setakat jam 4:00 petang pasukan penyelamat masih belum menemui sebarang petunjuk baharu berkaitan dengan mangsa. 

Sementara itu, sebuah Bot OKINAWA yang dinaiki 10 orang pemancing dan tekong yang karam pada jarak 2.8 batu nautika barat laut Pulau Satang itu pada Sabtu lepas telah berjaya ditimbulkan semula pemilik dan dibawa ke jeti di Telaga Air sekitar jam 2.00 petang tadi. 

Keadaan cuaca pada hari ini dilaporkan agak berangin dengan kelajuan 40 hingga 50kmsj dan laut berombak setinggi 1.5 hingga 3.5 meter. 

Jumlah keseluruhan pegawai dan anggota petugas pasukan penyelamat adalah seramai 150 orang.-EDISI UKAS