Kejayaan Aiman Terlibat Perniagaan Dalam Usia Muda Wajar Dicontohi Generasi Seangkatannya

UKAS  > Edisi-Selatan >  Kejayaan Aiman Terlibat Perniagaan Dalam Usia Muda Wajar Dicontohi Generasi Seangkatannya
0 Comments

JUMAAT, 15 OKTOBER 2021

KUCHING: Generasi ‘Z’ pada masa kini lebih bijak menempuh cabaran dalam perniagaan walaupun dalam pandemik COVID-19.

Pelbagai inisiatif telah dilakukan bagi mengembang perniagaan mereka demi kelangsungan hidup.

Aiman Abdul Hamid atau nama popularnya Cikgu Aiman Gajet salah seorang contoh remaja yang baru berusia 23 tahun yang telah berjaya mengembangkan perniagaan gajet telefon bimbit sehingga ke seluruh Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata usaha Aiman pada hari ini patut dicontohi generasi seangkatannya.

“Usaha Aiman pada hari ini adalah usaha yang patut dicontohi generasi seangkatan beliau iaitu generasi Z.

“Dalam masa endemik sangat penting bagi setiap individu untuk bangun semula dan menjana pendapatan.

“Pilihan yang dibuat Aiman adalah pilihan yang tepat kerana beliau mengambil peluang untuk menjalankan perniagaan yang sememangnya sangat sesuai dengan pasaran pada masa kini iaitu telefon bimbit,” katanya semasa merasmikan Premis Perniagaan Cikgu Aiman Gajet di Metrocity Matang.

Beliau mula menyimpan dan membuka premis perniagaannya Cikgu Aiman Gajet yang kini semakin terkenal.

Dengan usahanya memperluaskan perniagaan melalui platform media sosial ‘TikTok’ telah berjaya meraih tontonan lebih 8 juta penonton di seluruh dunia.

Sementara itu, pemilik premis ‘Cikgu Aiman Gadget’ sempat menceritakan pengalamannya dalam memperluaskan perniagaannya melalui Aplikasi ‘TikTok’ yang telah mendapat sambutan menggalakkan.

Sehingga kini, beliau telah berjaya membuka perniagaan di Kuching dan pada masa sama akan memperluaskan cawangannya ke Betong, Miri, Bintulu dan Kota Kinabalu, Sabah.